`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 13, 2021

Gangguan air di 200 kawasan Johor akibat loji Semangar terbakar

 

Anggota bomba memadamkan kebakaran dua unit transformer di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi di Kota Tinggi semalam. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Kira-kira 200 kawasan di bandar raya ini, Kulai dan Iskandar Puteri mengalami gangguan bekalan air luar jangkaan berikutan dua unit transformers di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi di Kota Tinggi terbakar semalam.

Ranhill SAJ Sdn Bhd menerusi catatan di Facebook hari ini memaklumkan, antara kawasan terjejas ialah Senai, Skudai, Pulai, Austin, Sedenak, Seelong, Kempas, Kulai, Gelang Patah dan Nusajaya.

“Kebakaran itu mengakibatkan loji dihenti tugas. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memadamkan kebakaran dan tiada korban nyawa dilaporkan.

“Pihak kami bersama pihak berkaitan berusaha menyelesaikan masalah ini bagi memastikan kawasan terjejas menerima bekalan air bersih secara berperingkat.

“Mengikut maklumat terkini, sekiranya kerosakan berjaya diperbaiki dalam masa terdekat, anggaran tempoh pemulihan bekalan air adalah selama 12 jam selepas loji beroperasi semula dengan kapasiti penuh,” menurut Ranhill SAJ.

Syarikat pembekalan air bersepadu di negeri itu memaklumkan, selain kawasan perindustrian dan taman perumahan, kawasan terjejas termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut Marin, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Taman Tema Legoland dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Azman Jantan dalam kenyataan berasingan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 2.57 petang.

“Seramai 12 anggota, termasuk pegawai dari BBP Kota Tinggi bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian. Didapati berlaku kebakaran dua unit transformers kira-kira 80% setiap satu.

“Kebakaran mengakibatkan kesan jelaga pada bilik tersebut. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada 4.45 petang semalam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.