`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 11, 2021

Jangan kejar untung saja, perkhidmatan tak setanding tawaran, Annuar beri amaran kepada syarikat telco

 

Annuar berkata kementeriannya akan memantau prestasi kewangan syarikat telco di negara ini supaya tahap keuntungannya yang diperoleh dikembalikan semula kepada perkhidmatan di luar bandar.

KUALA LUMPUR: Syarikat telco diingatkan supaya tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata, dan meminggirkan perkhidmatan jalur lebar di luar bandar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

Beliau berkata, pihaknya mendapati di sesetengah tempat, talian telekomunikasi yang ditawarkan tidak setanding dengan perkhidmatan yang diuar-uarkan kepada pengguna, dan ia jelas menunjukkan keadaan yang tidak adil.

Katanya, kementerian akan memantau prestasi kewangan syarikat telco di negara ini supaya tahap keuntungannya yang diperoleh dikembalikan semula kepada perkhidmatan di luar bandar.

“Saya bagi peringatan mesra, bukan saja mereka perlu cari keuntungan tetapi kita akan pantau tahap keuntungan itu mesti dipulangkan kembali kepada perkhidmatan luar bandar.

“Kita akan buat semakan secara ‘random’, dan ada sesetengah tempat yang kita buat ujian, kelajuan internet bukan saja bawah 25Mbps malah ada yang bawah 10Mpbs dan 5Mbps,” katanya di Dewan Rakyat.

“Ini satu keadaan tidak adil kepada pengguna dan kita ingin beri peringatan supaya syarikat ini untuk terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk beri perkhidmatan terbaik.”

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menaik taraf menara komunikasi yang ada ketika ini kerana kebanyakan kawasan masih tidak mempunyai liputan atau capaian internet yang rendah.

Mengenai pembinaan menara telekomunikasi di program Jalinan Digital Negara (JENDELA), Annuar berkata, arahan kerja akan dikeluarkan bulan ini termasuk kerja-kerja pembinaan menara di Sabah dan Sarawak.

“Matlamat kita, menjelang akhir tahun ini perkhidmatan berasaskan spektrum 3G akan ditamatkan dan negara akan beralih sepenuhnya kepada perkhidmatan berasaskan spektrum 4G,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.