`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, October 10, 2021

Kongsi data Covid dari lokasi pelancongan, gesa persatuan

 

Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia berkata, gelembung perjalanan Langkawi mencapai kejayaan besar dan akan menjadi model pelancongan selamat di seluruh negara. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dengan larangan rentas negeri ditamatkan esok, kerajaan digesa menubuhkan pusat data bagi mengumpulkan data Covid-19 dari lokasi pelancongan di seluruh negara.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, data tersebut akan membantu penggiat industri pelancongan untuk melaksanakan amalan terbaik bagi menjayakan pengembaraan dan pelancongan yang lebih selamat.

“Sebagai contoh, di Langkawi baru-baru ini, terdapat penularan Covid-19 di sebuah hotel. Oleh itu, kita perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di sana.

“Sekiranya semua pemain industri tahu apa yang silap, kita dapat meningkatkan lagi SOP dan amalan terbaik untuk menjadikan perjalanan dan pelancongan lebih selamat.”

Uzaidi berkata, persatuannya yang dianggotai lebih 3,000 agensi pelancongan, penyedia penginapan dan perkhidmatan, sudah bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia untuk pemain industri menerapkan amalan terbaik.

Beliau menyambut baik pengumuman kerajaan hari ini membenarkan rakyat lengkap divaksin melakukan perjalanan rentas negeri ke seluruh negara serta ke luar negara mulai esok.

“Ini adalah berita sangat menggembirakan, tepat pada masanya. Gelembung perjalanan Langkawi menjadi kejayaan besar dan sekarang akan menjadi model pelancongan selamat di seluruh negara.

“Kami berharap semua pemain industri dan pelancong akan bertanggungjawab serta melakukan peranan mereka dengan mematuhi SOP,” katanya.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Tan Kok Liang berkata, pembukaan semula sempadan negeri akan mengembalikan keyakinan dalam industri pelancongan.

Larangan rentas negeri dilaksanakan sejak darurat diisytiharkan Januari lalu.

Beliau menggalakkan syarikat pelancongan menyertai program pensijilan di bawah Travel Safe Alliance Malaysia yang dapat membantu meningkatkan keyakinan pelancong kerana syarikat perlu diaudit untuk mendapat akreditasi.

“Semua pihak, sektor perniagaan dan pelancong perlu melaksanakan peranan mereka,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.