`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 11, 2021

Krisis Melaka: Sulaiman ketuai kerajaan sementara, kata SUK

 

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan menjalankan tugas masing-masing kecuali mereka yang telah meletak jawatan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Kamel Mohamad. (Gambar Bernama)

MELAKA: Sulaiman Md Ali mengetuai kerajaan sementara Melaka dan dibantu oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sedia ada, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Kamel Mohamad.

Dalam kenyataan hari ini, Kamel berkata Ahli MMKN yang terlibat akan menjalankan tugas masing-masing kecuali mereka yang telah meletak jawatan.

Pembentukan kerajaan sementara itu adalah susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam pada 4 Okt.

Kamel berkata, walaupun Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan sementara, namun berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel, ia hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara atau negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

“Dalam hal ini, kerajaan sementara tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam.

“Bagi maksud itu, kerajaan sementara boleh mengambil tindakan-tindakan iaitu menjalankan tugasan rasmi rutin, termasuk menjalankan kuasa yang diberi di bawah undang-undang bagi memastikan jentera kerajaan negeri berfungsi; mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran kerajaan negeri.

“… Meneruskan pelaksanaan dasar dan program sedia ada iaitu peruntukan kewangan baginya telah disediakan; membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar telah diluluskan oleh kerajaan negeri atau peruntukan mengenainya telah diluluskan oleh DUN seperti Belanjawan tahun semasa,” katanya.

Kamel berkata, selain itu kerajaan sementara boleh mengadakan dan menghadiri majlis rasmi yang telah dijadualkan bagi sesuatu projek atau program kerajaan negeri.

Dalam kenyataan berasingan, Kamel berkata kerajaan negeri menafikan dakwaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Idris Haron bahawa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan dan keputusan dibuat oleh MMKN memandangkan ia adalah muktamad dan keputusan bersama.

“Merujuk kepada dakwaan khusus bahawa terdapat campur tangan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Melaka (Ab Rauf Yusoh) dan dakwaan keputusan MMKN perlu dirujuk kepada pihak ketiga sebelum dilaksanakan, pentadbiran kerajaan negeri Melaka menafikan dakwaan tersebut.

“Adalah tidak benar segala keputusan perlu dirujuk kepada pihak ketiga sama ada sebelum, semasa dan selepas mesyuarat,” katanya.

Kamel berkata pentadbiran kerajaan negeri Melaka juga memandang serius tohmahan Idris bahawa MMKN mengamalkan dasar terpilih yang memihak kepada satu-satu kaum dalam membuat keputusan, sebaliknya sentiasa mengambil kepentingan semua rakyat negeri Melaka tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan Melaka juga ingin memaklumkan bahawa setiap ahli MMKN telah mengangkat sumpah kerahsiaan “untuk tidak memberitahu atau tidak menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan MMKN”.

“Dalam hubungan ini kerajaan negeri Melaka sedang meneliti sama ada terdapat pelanggaran ke atas sumpah kerahsiaan tersebut dan sekiranya terdapat pelanggaran, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.