KOTA KINABALU: Persaingan di kawasan Bumiputera Islam di Sabah dijangka kompetitif sekiranya Umno dan Bersatu bertembung dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata penganalisis.
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, selain dua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, ia juga diramal sengit dengan kehadiran Warisan yang bertanding di kawasan sama.
Katanya, setiap tiga parti itu mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri termasuk dari segi calon dan jentera.
“Jika pertembungan (Umno dan Bersatu) berlaku, perpecahan undi sudah pasti berlaku. Persoalannya, siapa yg lebih mendapat manfaat?
“Bersatu, Umno dan Warisan mempunyai kekuatan atau kelebihan masing-masing dan ianya dipengaruhi pelbagai faktor seperti personaliti, penaungan, 3M (money, media, machinery) dan lain-lain lagi.
“Sentimen terhadap isu yang diketengahkan nanti pasti memberi pengaruh besar, justeru, persaingan Bumiputera Islam akan sangat kompetitif kali ini.
“Berikutan itu, masyarakat Bumiputera bukan Islam khususnya KDM (Kadazan, Dusun dan Murut) juga dijangka akan menjadi penentu atau ‘kingmaker’ pada PRU nanti,” katanya kepada FMT.
Tony berkata, pertembungan antara Umno dan Bersatu itu nanti juga bakal menjadi satu ujian besar buat GRS untuk terus kekal bersama mempertahankan mandat rakyat yang diperolehi mereka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Katanya, keputusan Umno mempertahankan semua kerusi dimenangi mereka pada PRU14 memang sudah dijangka walaupun mereka sedar bakal bertembung dengan calon Bersatu.
“Ini juga akan menjadi persoalan, sejauh mana Umno Sabah menikmati autonomi yang diberikan sebelum ini dengan mengambil kira dinamik politik Sabah,” katanya.
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, Umno dilihat lebih memiliki peluang sekiranya mereka bertembung dengan Bersatu pada PRU15 nanti.
Ini kerana, katanya, parti itu dijangka mendapat lebih manfaat kerana kerajaan persekutuan kini dikuasai Umno.
“Umno dan Bersatu adalah rakan dalam GRS di Sabah, sekiranya pertembungan berlaku antara mereka nanti, Umno dijangka mendapat lebih banyak manfaat kerana kerajaan persekutuan di bawah kuasa Umno.
“Tambahan pula, Umno lebih ramai keahlian berbanding Bersatu di Sabah,” katanya.
Bagaimanapun, Azman berkata pertembungan itu belum tentu akan berlaku kerana mereka masih mempunyai banyak masa sebelum PRU diadakan.
“Masa masih panjang sebelum PRU diadakan dan ada banyak lagi perbincangan politik yang terus berlaku.
“PAU (Perhimpunan Agung Umno) memang memutuskan kerjasama dengan Bersatu hingga PRU15 dan ini bermakna Bersatu perlu berhadapan dengan musuh lama mereka iaitu Umno.
“Bagaimanapun, sekiranya pucuk pimpinan tertinggi Umno berjaya diambil alih oleh Ismail Sabri Yaakob dan pro-Bersatu dalam Umno, maka pertembungan ini dapat dielakkan.
“Namun dari satu segi, ia akan memecahkan akar umbi Umno di bawah kerana ramai menolak Bersatu yang menjadi musuh mereka pada PRU lalu dan sukar bagi akar umbi menerima hakikat bahawa kerusi tradisi Umno ditandingi oleh calon Bersatu,” katanya.
Terdahulu pada Sabtu, bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, mereka bersedia melawan Umno dalam pilihan raya akan datang sekiranya parti itu kekal dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama.
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin kemudiannya berkata, parti itu juga sedia berdepan dengan Bersatu pada PRU15 akan datang.- FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.