`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, October 26, 2021

Sains Terbuka, menggagas dasar tanpa keciciran

 

Platform Sains Terbuka Malaysia akan dapat membantu penyelidik memintas kerumitan sistem kawal selia data penyelidikan dan alat-alatnya.

PETALING JAYA: Gerakan Sains Terbuka semakin mendapat momentum dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan matlamat mengubah amalan penyelidikan sains dan dalam pada itu menjadi agenda kebangsaan di serata dunia.

Ia ditakrifkan sebagai amalan-amalan untuk meruntuhkan halangan-halangan yang membendung aliran bebas ilmu dalam kalangan para penyelidik dalam semua bidang yang membawa kepada peningkatan impak yang dikaitkan dengan perkongsian dan guna semula lebih meluas, di samping etika penyelidikan.

Ini dipercayai boleh membina keyakinan masyarakat kepada sains dan keandalan hasil-hasil saintifik.

Kemajuan teknologi hari ini lagi memacu gerakan Sains Terbuka lantas mendorong Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP), serta para penyelidik Malaysia mendakap anjakan ke arah paradigma baharu itu.

MOSP ditubuhkan oleh Gabungan Sains Terbuka Malaysia, yang terdiri daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; KPT; Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan universiti-universiti penyelidikan (RU).

Professor Abrizah Abdullah

Prof Abrizah Abdullah dari MOSP berkata, para penyelidik harus dimudahkan untuk sepenuhnya memanfaatkan amalan-amalan penyelidikan dengan menggabungkan penerbitan ilmiah dan set data.

“Oleh itu, KPT boleh memainkan peranan penting dalam menggalakkan dan mempromosikan MOSP kepada golongan penyelidik dalam ekosistem pendidikan tinggi dengan sasaran untuk meningkatkan kefahaman mengenai Sains Terbuka dan asimilasinya sebagai sebahagian daripada penyelidikan dan kegiatan inovasi,” katanya.

Menurut Abrizah, MOSP perlu meningkatkan kepaduan sistem insentif dan kawal selia yang mentadbir data penyelidikan dan alat-alatnya untuk benar-benar memanfaatkan Sains Terbuka.

“Selaku penyelaras, MOSP akan dapat membantu golongan penyelidik memintas kerumitan sistem itu agar mereka boleh menormalkan amalan-amalan penyelidikan terbuka yang lebih baik, berkongsi kaedah-kaedah dan data serta mempergunakan potensi diri sepenuhnya kerana yakin semua ini akan memajukan kerjaya dan reputasi masing-masing.”

“Ia juga memastikan urus tadbir rekod-rekod sains dan ahli sains daripada proses penerbitan itu sendiri berada di tangan komuniti saintifik dan institusi masing-masing dan bertanggungjawab kepada mereka.

“Ini akhirnya akan menyumbang kepada peningkatan kedudukan dan haluan Malaysia di laluan-laluan dan platform-platform berkaitan penyelidikan di peringkat serantau dan sejagat,” kata Abrizah.

Memandangkan gerakan ini masih agak baharu, Abrizah berkata, para penyelidik boleh membuat keputusan tentang bagaimana untuk memanfaatkannya, termasuk hak seseorang untuk mengakses maklumat tanpa sebarang petunjuk lokasi atau status sosio-ekonomi sebagai penghalang.

“Selain memudahkan kerjasama peringkat sejagat, penyebaran pantas dan kesaksamaan maklumat, keadaan yang menjadikan Sains Terbuka penting adalah kemampuannya melahirkan golongan baharu penyelidik, termasuk ahli sains yang bekerja secara bebas dan penyelidik rakyat; penyebaran penyelidikan bentuk baharu melalui pracetak, pelayan digital dan blog-blog ilmiah; serta cara mengukur reputasi ilmiah yang lebih inklusif dan meluas dengan menggunakan profil, bukannya metrik,” katanya.

Katanya, gerakan ini begitu menonjol ketika wabak Covid-19 melanda kerana ahli sains serata dunia terus-menerus menyebarkan idea, data dan keterangan.

“Ia telah menjadi suatu strategi penting dalam kalangan universiti dan institusi penyelidikan, perpustakaan ilmiah dan penerbit ilmiah untuk mencapai teras misi mereka, iaitu mencipta, menyebar, dan memelihara ilmu untuk manfaat masyarakat,” kata Abrizah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.