PELABUHAN KLANG: Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mendedahkan terdapat tiga kapal yang sepatutnya diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dua tahun lalu masih belum diterima sehingga kini.
Beliau berkata, kontrak memperoleh kapal baharu sudah diberikan kepada sebuah syarikat tempatan empat tahun lalu namun akibat ketidakmampuan syarikat itu ia gagal disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
“Kita sebenarnya telah beri kontrak kepada sebuah syarikat (untuk mendapatkan kapal baharu) pada empat tahun lepas…patut dah lama siap tapi tak siap-siap juga.
“Kalau tak kita ada tiga lagi kapal baharu tapi kerana kelewatan mereka, ia tergendala. Kita akan tekan untuk tentukan kapal ini siap dalam masa terdekat sekurang-kurangnya satu kapal boleh dihantar tahun ini dan baki pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-17 APMM di sini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kapal sedia ada milik APMM perlu ditukar segera kerana kebanyakannya sudah melebihi 30 tahun.
Tiga kapal milik APMM yang perlu ditukar adalah KM AMANAH berusia lebih 40 tahun dan KM Langkawi serta KM Siangin, masing-masing berusia lebih 30 tahun.
Semua kapal itu kini ditempatkan di perairan Kelantan, Pahang dan Kedah/Perlis.
Dalam pada itu, Hamzah berkata pihaknya bercadang menambah tiga lagi helikopter untuk agensi penguatkuasa itu bagi menambah kapasiti aktiviti operasi sedia ada.
“Kita sedang kaji dan cadang supaya ada lagi helikopter yang kita perlukan sebab helikopter yang ada boleh beroperasi selama empat jam…empat jam dengan helikopter yang ada tak cukup sebab itu kita perlu dapatkan beberapa lagi helikopter,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.