`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, February 28, 2022

Pak Menteri, cakap biar betul ye

 

Perdana Menteri berkata Bahasa Melayu mesti digunakan untuk semua urusan rasmi kerajaan di luar negara. Di seantero dunia maknanya tu, termasuk persidangan antarabangsa.

“Kita sudah bincang dalam Kabinet (ertinya Jemaah Menteri), ‘option’ (pilihan) pertama…jika negara tersebut guna bahasa mereka, kita guna bahasa Melayu dan option (sekali lagi diingatkan ertinya ‘pilihan’) kedua kalau negara tersebut guna bahasa Inggeris kita gunakan bahasa Inggeris atau boleh guna bahasa Melayu,” kata Ismail Sabri Yaakob.

Saya tidak bercadang mengulas adakah langkah itu bagus atau tidak, wajar atau sebaliknya, tetapi oleh kerana Perdana Menteri menegaskan langkah itu bertujuan “memperkasakan bahasa Melayu” dan “tidak ada sebab kenapa kita rasa janggal berbahasa Melayu di luar negara”, saya sekadar mengingatkan lakukan ia dengan berbahasa Melayu secara baik dan betul.

Kalau bertutur atau menyampai ucapan dalam bahasa Melayu di khalayak atau di luar negara pastikan perkataannya betul, nahu betul, caranya betul, dan sebutannya betul.

Ini saya katakan kerana saya sendiri pernah mendengar Menteri dan Timbalan Menteri yang bukan Melayu, bila cakap Melayu, boleh bikin orang yang mendengarnya tersenyum lebar malah ketawa. Contoh. Ada menteri sebut “dada” pada hal yang dimaksudkan ialah “dadah”. Ada menteri menasihati rakyat jangan “gapuh-gapuh’. Nasihatnya yang sebenar ialah “jangan gopoh-gapah”. Ada juga yang “keliru” dengan sebutan bunyi huruf “L” dan huruf “R’. Maka “rambutan” jadi “lambutan”.

Itu masalah sebutan yang kerap melanda Menteri dan Timbalan Menteri yang bukan orang Melayu. Menteri dan Timbalan Menteri Melayu bagaimana? Semuanya bagus dan sempurna? Tidak juga. Ada menteri Melayu , “kecuali” disebut “kacauwali”. Amnya sebutan mungkin bukan masalah besar buat pak Menteri Melayu (meskipun ada juga yang loghat negerinya agak tebal) tetapi bab penggunaan perkataan, ada yang menyakitkan telinga. Tidak kurangnya kesalahan nahu serta tatabahasa.

Contoh. Ada Menteri Melayu yang gemar guna istilah “mereka-mereka”. Ini kesilapan kerap. Saya bukan guru bahasa Melayu, tetapi saya tahu “mereka” merujuk kumpulan. Beberapa orang berkumpulan umpamanya. Oleh itu apabila menteri Melayu kata “mereka-mereka” ini sudah atau “berlebihan”.

Ada Menteri Melayu masih (tetapi sejak kebelakangan ini sudah tidak ramai) yang berkata “pada pendapatan saya” meskipun yang betulnya ialah “pada pendapat saya”. Kesilapan lazim pak menteri kita ialah ketika menggunakan “dari” dan “daripada”. Suka betul mereka berkata “saya baru pulang daripada luar negara. Ini tidak betul YB. Yang betul ialah “saya baru pulang dari luar negara”.

Begitu juga apabila berkata “kajian kementerian saya dibuat daripada sudut kewangan”. Maaf tak betul. “Kajian kementerian saya dibuat dari sudut kewangan”. Ini kata pakar bahasa, bukan saya memandai-mandai.

Menteri juga gemar berkata “saya dengan PM berkawan sejak dari kecil”. Salah tu. Bukan menidakkan kenyataan menteri berkawan lama dengan Perdana Menteri . Yang salah kata-katanya itu. Yang betul begini: “Saya dan PM berkawan sejak kecil”. Tidak ada “dari”. Ini tepat.

Kata sendi nama “dari” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama. Ia menyatakan arah, tempat, masa atau waktu. Namun kombinasi “sejak dari” tidak dibenarkan. Lantas “dari” perlu digugurkan.

Kata sendi “daripada” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama juga, tetapi ia menyatakan punca bagi manusia atau institusi, haiwan, benda, dan unsur abstrak. Ia menyatakan asal kejadian sesuatu benda, sebahagian daripada semua dan menyatakan perbezaan atau perbandingan.

Semua maklumat ini saya dapati dengan membuat carian menggunakan Google. Semua ada. Baiklah cukup sebelum saya dituduh hanya mencari salah menteri.

Semua kelemahan itu boleh diatasi apabila menteri berucap menggunakan teks ucapan atau kenyataan yang disediakan terlebih dahulu. Oleh itu bahasa tepat dan baik digunakan. Namun menteri kena juga jaga sebutan. Teks betul, sebutan tak betul, tak jadi juga.

Akan tetapi oleh kerana arahan PM ialah menggunakan bahasa Melayu di luar negara untuk semua urusan rasmi, silap dalam sebutan serta tatabahasa tidak akan dikesan oleh pendengar luar negara yang sememangnya tidak tahu berbahasa Melayu. Ada yang seumur hidup tidak pernah dengar orang bercakap Melayu.

Pun begitu, apabila nak bercakap Melayu, saya ulangi, gunakanlah dengan betul dan cantik. Tak kira sama ada Menteri Melayu mahupun yang bukan Melayu. Bukan ke mereka anggota Keluarga Malaysia pimpinan Ismail?

Bukankah tujuan Perdana Menteri dan Kabinetnya mengeluarkan arahan guna bahasa Melayu di luar negara untuk “memperkasakan bahasa Melayu”? Untuk mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan?

Oleh itu perkasakanlah, muliakan dan martabatkanlah bahasa kebangsaan dengan tatabahasa dan sebutan yang betul. Walaupun orang yang mendengarnya tidak tahu mana betul mana salah. Menteri sendiri perlu rasa malu dan bersalah jika tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul di pentas dunia.

Dalam negara juga gunalah dengan betul. Jika tidak, hasrat Perdana Menteri akan sia-sia. Hasrat tinggal hasrat.

Saya tahu saya tidak layak bercakap mengenai penggunaan bahasa Melayu dengan baik kerana saya sendiri guna banyak perkataan dan istilah Inggeris dalam penulisan saya. Maaf, itu gaya penulisan. Sekadar untuk saya berkongsi pandangan.

Juga, saya bukan menteri yang mewakili negara untuk perkasakan bahasa Melayu di persidangan antarabangsa. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.