`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, February 27, 2022

2 PPS di Hulu Terengganu turut dinaiki air

 

Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh adalah antara lokasi yang sering terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu setiap kali hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama. (Gambar Bernama)

HULU TERENGGANU: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh turut dilanda banjir awal pagi tadi sehingga menyebabkan penduduk yang berlindung di tempat yang sepatutnya ‘selamat’ itu cemas dan kebimbangan.

Arus banjir yang terlalu deras menyebabkan penduduk menjadi kelam-kabut dan segera menyelamatkan harta benda serta keluarga mereka ke kawasan lebih tinggi di kampung tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Periuk Abdul Rasek Ali berkata PPS di kampung itu yang menempatkan 315 mangsa pada awalnya telah ditutup pada 1 tengah hari semalam dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir surut sepenuhnya.

“Namun, air naik lagi pada tengah malam menyebabkan lapan penduduk (empat keluarga) yang rumah mereka terletak di kawasan lebih rendah bergegas semula untuk berlindung ke PPS itu malangnya, PPS turut dinaiki air pada 6.30 pagi tadi,” katanya.

Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh adalah antara lokasi yang sering terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu setiap kali hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan pagi tadi.

Di Terengganu, jumlah penduduk terjejas banjir meningkat kepada 4,335 orang daripada 1,287 keluarga pagi tadi berbanding 3,334 orang daripada 931 keluarga malam tadi.

Ketika ini, terdapat 89 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di lapan daerah di Terengganu iaitu 22 di Setiu, Kemaman (21), Besut (19), Hulu Terengganu (14), Kuala Nerus (lima), Dungun (lima), Kuala Terengganu (dua) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah tertinggi mereka yang dipindahkan ke PPS masih di daerah Kemaman iaitu 2,152 orang, diikuti Setiu (802), Hulu Terengganu (637), Besut (370), Kuala Nerus (173), Dungun (138), Kuala Terengganu (58) dan Marang (lima).

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi info banjir https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tujuh sungai di empat daerah masih melepasi paras bahaya pagi ini iaitu Sungai Nerus, Sungai Setiu dan Sungai Chalok di daerah Setiu; Sungai Berang dan Sungai Telemong (Hulu Terengganu), Sungai Besut (Besut) dan Sungai Kemaman (Kemaman).

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,222 orang daripada 1,034 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 2,993 orang daripada 881 keluarga, semalam.

Portal rasmi info banjir JPS memaklumkan dua sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Temangan, Machang dengan merekodkan bacaan 21.38 meter (m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.05 m). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.