`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, February 27, 2022

Golongan bukan pakar ulas isu vaksin cetus kekeliruan, faktor ramai takut dos penggalak

 

Masalah besar berlaku kerana mereka yang tidak layak bercakap tentang vaksin, tetapi berpengaruh dalam media sosial, kata pakar perubatan. (Gambar Bernma)

PETALING JAYA: Golongan bukan pakar, namun bertindak mengulas berhubung isu vaksin telah mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat, sehingga ke tahap orang ramai takut mengambil dos penggalak.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Mikrobiologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Malina Osman, berkata golongan berkenaan merujuk kepada mereka yang mempunyai pengaruh dalam media sosial.

“Masalah besar dengan komuniti kita ialah terdapat mereka yang tidak layak bercakap tentang vaksin, tetapi berpengaruh dalam media sosial dalam memberi pandangan, seolah-olah merekalah pakar ‘paling pakar’.

“Sebahagian pula mencipta maklumat tidak benar dan sebahagian lagi berkongsikan di media sosial maklumat palsu,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan peratusan rendah masyarakat Melayu menerima dos penggalak.

Beliau berpandangan, semua profesional perubatan bukan barisan hadapan juga sepatutnya tidak dibenarkan memberi pandangan yang mengelirukan rakyat.

Ujarnya, pakar dan doktor barisan hadapan yang lebih sesuai diberi peluang bercakap di media berhubung isu Covid-19.

Beliau berkata, dalam konteks kesihatan awam, perlu ada pendekatan secara kolektif, di mana harus ada perbandingan dibuat sama ada langkah diambil lebih memberi manfaat atau tidak.

“Pilih manakah yang memberi lebih banyak manfaat iaitu mengurangkan kematian dan kemasukan ke wad atau membiarkan masyarakat sehingga kematian terus berlipat kali ganda?”

“Adakah setiap perincian komplikasi di peringkat setiap individu yang berlaku secara minoriti, menyebabkan kita mengambil keputusan membatalkan vaksin sepenuhnya?” soalnya.

Menurutnya, setiap ubat atau prosedur wujud kompilkasi, namun terjemahan dalam dunia realiti perlu mengambil kira impak secara menyeluruh dan mempertimbangkan semua aspek klinikal.

Mengulas lanjut berkenaan pemberian dos penggalak, beliau berkata, kejayaan sesuatu program bukan terletak pada pembuat dasar atau pelaksana pentadbiran peringkat atasan, tetapi ia memerlukan penyertaan masyarakat secara langsung dan sukarela.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kurang daripada 50% masyarakat Melayu menerima dos penggalak Covid-19 dan keadaan ini memerlukan komunikasi yang lebih baik khususnya menerusi media sosial.

“(Sebanyak) 80% masyarakat Cina ‘boosted’ (menerima suntikan dos penggalak). Namun perlu komunikasi yang lebih mantap di Facebook sebab Melayu kurang 50%,” katanya di Twitter pada 11 Februari lalu.

Khairy juga meminta semua pihak supaya tidak mengendahkan sebarang teori konspirasi mengenai dos penggalak dalam media sosial.

Menerusi muat naik di Twitternya, memaparkan graf yang menunjukkan bahawa kadar kematian lebih tinggi berlaku dalam kalangan yang belum mengambil vaksin, berbanding yang telah lengkap vaksinasi dan dos penggalak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.