`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, February 28, 2022

Terperangkap banjir 24 jam, 68 peserta kem rekreasi diselamatkan

 

Anggota bomba membantu memindahkan 68 peserta, termasuk seorang warga emas berkerusi roda, yang terperangkap selama 24 jam di Kem Rekreasi Budi, Kampung Belukar Bukit, hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA BERANG: Seramai 68 orang, termasuk 20 kanak-kanak, diselamatkan selepas terperangkap selama 24 jam akibat banjir sejak awal pagi semalam di Kem Rekreasi Budi, Kampung Belukar Bukit, di sini hari ini.

Penyelia kem, Farhan Zakaria berkata, hujan lebat berterusan sejak Jumaat lepas menyebabkan kawasan itu dinaiki air dan selut secara mendadak sehingga menghanyutkan 10 khemah peserta bengkel solat yang sedang dianjurkan di situ.

“Air naik secara tiba-tiba pada 5.30 pagi di kawasan penginapan peserta pada paras dada orang dewasa. Jadi, saya bersama beberapa penyelia kem lain bergegas membawa peserta mendaki bukit di bahagian belakang kem untuk berlindung di dalam surau di situ.

“Kami juga terpaksa mengangkat seorang ahli keluarga peserta yang merupakan warga emas berkerusi roda,” katanya selepas operasi menyelamat selesai dijalankan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang.

Katanya, ketika kejadian pada awal pagi itu, mereka sukar mendapatkan bantuan ekoran terputus liputan telefon dan internet, manakala kenderaan yang ada rosak akibat ditenggelami air.

Sementara itu, Ketua BBP Kuala Berang, Hanafi Mohd berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu semalam, namun tidak dapat masuk ke kawasan terjejas kerana laluan darat terputus dan air deras, selain ia terletak di kawasan hutan.

“Pagi tadi apabila air mula surut, barulah pasukan bomba dapat ke sana,” katanya sambil memaklumkan operasi itu, yang bermula 8.30 pagi hingga 1 tengah hari itu, disertai sembilan anggota, tiga lori dan sebuah pacuan empat roda. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.