`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 28, 2022

‘Yang dewasa pun tak faham, apatah murid Tahun 6,’ pensyarah UPM bidas silibus insurans dan takaful

 

Pensyarah Othman Talib menyifatkan silibus insurans dan takaful untuk murid Tahun 6 sebagai membazir masa.

SERDANG: Pengajaran subjek insurans dan takaful kepada murid Tahun 6 adalah “bisul” yang mendedahkan kepincangan sukatan pelajaran yang semakin berat, kata pensyarah bidang pengajian pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Othman Talib.

Beliau mempersoalkan kewajaran Kementerian Pendidikan “menyumbat masuk” subjek insurans dan takaful dalam buku teks Matematik murid berusia hanya 12 tahun, walhal ramai orang dewasa sendiri tidak mempunyai kefahaman mengenainya.

“Kita kenalkan dia dengan takaful untuk apa? Kita tak boleh hipokrit. Apa hipokrit? Alah, kita bagi pengenalan sahaja (di Tahun 6). Kita (orang dewasa) pernah dengar insurans tak? Pernah. Mungkin beribu kali. (Tapi) kita sendiri… faham tak?” tanya beliau.

“Sebenarnya, ia bukan itu sahaja. Kita matikan kecintaan anak-anak kita (terhadap matematik). Akhirnya semua dia tak nak,” katanya kepada FMT.

Tangkap layar semakan silibus Matematik Tahun 6 hasil carian Google.

Beliau menyifatkan subjek insurans dan takaful untuk murid Tahun 6 sebagai membazir masa dan dibuat tanpa perancangan teliti.

“Katalah (selepas Tahun 6 ), mereka akan belajar lagi di Tingkatan 4, tapi dari Tahun 6, Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 3, ..benda itu ‘meaningless’ (tidak berguna). Mereka akan lupa.

“Jadi kita membuang masa, ajar sesuatu yang dia akan lupa. Insurans itu tak ada kepentingan untuk dia. Dia tak ada duit pun (sekarang untuk beli insurans). Kadang-kadang kita terlupa ‘3M’. Menulis, membaca, mengira. Anak-anak membaca pun belum tentu faham (apa yang dibacanya),” tegasnya.

Tangkap layar buku teks Matematik Tahun 6 yang tular di laman Twitter

Terdahulu media sosial dibanjiri komen sinis dan marah golongan pendidik dan ibu bapa terhadap ura-ura Kementerian Pendidikan memasukan silibus insurans dan takaful dalam buku teks Matematik Tahun 6.

Othman menyifatkan pengajaran takaful dan insuran sebagai “bisul” terbaharu yang mencetuskan luahan terbuka masyarakat terhadap nasib anak masing-masing.

Pensyarah UPM itu yang juga penulis 17 buku ilmiah lazim ke luar negara untuk meneliti pelbagai sistem pendidikan, khususnya di negara Barat yang boleh dijadikan contoh kepada Malaysia.

“Di Barat, mereka hapuskan sistem gred. Awak tak tahu, anak awak dapat berapa A. (Penilaian guru adalah) anak encik bagus dalam Matematik tapi kena usaha sikit dalam subjek Sains. Tak timbul perbandingan seperti di Malaysia. Itu penyakit (di sini),” katanya.

Othman sedih melihat keluhan ibu bapa berhubung keperluan anak mereka dipaksa belajar silibus berat dan lebih tinggi berbanding tahap kefahaman mereka.

“Banyak ibu bapa yang berikan komen bernada kecewa. Contohnya, (komen seperti): ‘Lepas ini, habis saja Darjah 6, sudah boleh mohon masuk universiti’. ‘Lepas ini, kalau (habis) Darjah 6 boleh jadi angkasawan’. Itu sebenarnya kekecewaan kalau kita perhatikan, luahan perasaan yang ‘genuine’.

“Ada satu luahan (berbunyi begini), ‘mama terima apa sahaja keputusan SPM anak mama, mama tak boleh buat apa dah sebab mama pun tak faham apa yang awak belajar’,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.