`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 17, 2022

Batal pengislaman anak Loh, Ahli Parlimen beritahu pihak berkuasa agama

 

Ibu tunggal, Loh Siew Hong, sudah menghantar notis undang-undang kepada pendaftar mualaf di tiga negeri untuk memohon bukti berhubung persetujuan dirinya dalam proses pengislaman anak-anaknya.

GEORGE TOWN: Peguam Ramkarpal Singh menggesa pihak berkuasa agama negeri Perlis membatalkan pengislaman tiga kanak-kanak selepas tidak mendapat persetujuan ibu mereka.

Pengislaman yang dibuat dua tahun lalu membabitkan tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong, yang dikatakan dipisahkan daripada anak-anaknya oleh bekas suami.

Ramkarpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, Mahkamah Persekutuan pada 2018 memutuskan dalam kes M Indira Gandhi bahawa persetujuan mandatori ibu bapa diperlukan jika membabitkan pengislaman kanak-kanak.

Katanya, mahkamah tertinggi sudah memutuskan perkara itu dan pengislaman anak-anak Loh perlu “dibatalkan” tanpa ada keperluan untuk membawa kes itu ke mahkamah.

“Jabatan agama Islam negeri mungkin terkhilaf dan dalam kes ini ibu kepada kanak-kanak itu tidak dapat dikesan.

“Namun kini semua sudah jelas bahawa ibu mereka tidak pernah memberi persetujuan bagi (anak-anaknya) memeluk Islam dan dia mendapat hak penjagaan mutlak terhadap ketiga-tiga anaknya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Loh sudah menghantar notis undang-undang kepada pendaftar mualaf di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi memohon bukti bahawa dia memberi persetujuan berhubung penukaran agama anak-anaknya.

Peguamnya, Shamsher Singh Thind berkata, pendaftar yang berada bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam negeri diberikan tempoh tujuh hari bagi menjawab notis itu.

Shamsher berkata, jika pihak majlis tidak dapat mengemukakan bukti, maka pendaftar sepatutnya membatalkan penukaran agama ketiga-tiga anak itu.

“Jika tiada bukti dikemukakan dan juga tiada surat mengesahkan pembatalan sijil penukaran agama, semakan kehakiman akan difailkan,” katanya kepada FMT.

Loh membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu, namun dimaklumkan semua anaknya berada dalam penjagaan pihak berkuasa agama di Perlis.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata, penukaran agama kanak-kanak terbabit dibuat mengikut hasrat bapa mereka, yang kini berada di penjara di Machang, Kelantan.

Asri berkata, bekas suami Loh mengatakan dia tidak mengetahui di mana wanita itu berada dan pihak berkuasa agama akhirnya mengikuti kehendak bapa kanak-kanak terbabit.

Katanya, pihak berkuasa di Perlis tidak ada masalah untuk menyerahkan kanak-kanak terbabit kepada Loh jika itu yang mereka mahukan.

“Kalau mereka kata kami nak balik kat mak kami, kita tak ada masalah…masalah dia anak-anak itu tak mahu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.