`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 12, 2022

Elak ganggu SPM, jangan jadikan sekolah menengah pusat undi, SPR digesa

 

Radzi Jidin berkata, sekolah rendah boleh digunakan sebagai pusat mengundi untuk PRN Johor, tetapi bukannya sekolah menengah bagi mengelakkan ia mengganggu pelaksanaan peperiksaan SPM. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta tidak menjadikan sekolah menengah sebagai pusat pengundian untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor kerana bimbang ia akan mengganggu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin, berkata pihaknya akan menulis surat rasmi kepada SPR bagi tujuan itu demi memastikan tidak wujud gangguan ketika peperiksaan SPM dalam tempoh kempen PRN, yang bermula 26 Feb hingga hari pengundian 12 Mac ini.

“Pelajar dan guru sekolah menengah bakal terbabit dalam peperiksaan SPM dan mereka telah melalui waktu sukar sebelum ini. Hal ini melibatkan masa depan anak-anak dan kementerian tidak mahu ada sebarang gangguan terhadap mereka.

“Kalau sekolah rendah tidak mengapa, berapa banyak sekolah rendah, nak guna berapa lama, tidak mengapa. Tetapi sekolah menengah, kita harap dapat memastikan pelaksanaan SPM berjalan dengan baik,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Radzi berkata, ada banyak rungutan daripada guru selepas sekolah menengah digunakan sebagai pusat pengundian ketika pilihan raya.

“Ini bermakna segala proses perlu dibuat semula (selepas pilihan raya), seperti susunan meja dan sekarang kita menggunakan sistem baharu, kod bar, susunan, indeks dan sebagainya.”

Katanya, sebahagian besar bilik di sekolah menengah digunakan untuk pengurusan atau pelaksanaan peperiksaan SPM, termasuklah bilik isolasi dan kuarantin.

“Kalau dahulu jarak (kedudukan antara calon SPM) 1m, sekarang ini jaraknya 1.5m. Pada masa yang sama juga, kita ada banyak bilik lain, kita ada bilik khas, bilik alternatif, kalau berlaku kes (jangkitan Covid-19), tiba-tiba dapat tahu, apa nak buat?

“Kita perlu ingat dalam konteks peperiksaan ini, sudah tak macam dahulu. Prosedur kita cukup lengkap, sebab itu kita mohon kalau boleh sebaik-baiknya, minta jasa baik (SPR) supaya tidak digunakan sekolah menengah sebagai pusat pengundian.”

Dalam pada itu, Radzi dipetik Sinar Harian sebagai berkata, sesi persekolahan pada Mac akan diteruskan walaupun kes Covid-19 semakin meningkat.

Ini kerana katanya, peratusan kes baharu Covid-19 dalam Kategori 4 atau 5 adalah kecil.

“KPM komited memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar, teratur dan selamat dengan memastikan semua prosedur operasi standard ditetapkan dipatuhi.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.