`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 18, 2022

Isu tukar agama akan berterusan jika negeri tak pinda undang-undang, kata peguam

 

Mahkamah Persekutuan memutuskan pada 2018 bahawa persetujuan kedua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama anak yang di bawah umur.

PETALING JAYA: Seorang peguam mewakili M Indira Gandhi yang berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan, mengingatkan bahawa penukaran agama secara sebelah pihak akan berterusan melainkan setiap negeri meminda undang-undang masing-masing untuk melarang amalan itu.

Rajesh Nagarajan berkata kebanyakan negeri masih belum meminda undang-undang supaya ia selaras dengan keputusan penting Mahkamah Persekutuan pada 2018 bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama seseorang di bawah umur.

“Buat masa ini, hanya Selangor, Sabah dan Sarawak yang melarang penukaran secara sebelah pihak membabitkan kanak-kanak bawah umur,” katanya kepada FMT.

“Undang-undang berkaitan di setiap negeri harus dipinda bagi membolehkan penukaran agama dua belah pihak di mana ia dilakukan dengan kehadiran kedua-dua ibu bapa,” kata Rajesh kepada FMT.

“Jika tidak, ketidakselarasan antara undang-undang negeri dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan mengakibatkan kitaran ibu bapa yang terkilan apabila terpaksa memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan penukaran agama secara sebelah pihak, tidak sah.”

Rajesh mengulas kontroversi yang menyelubungi ibu tunggal, Loh Siew Hong, di mana tiga anaknya telah ditukarkan agama tanpa persetujuannya.

Beliau berkata Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006, yang dipinda pada 2016 untuk membenarkan penukaran agama secara sebelah pihak, masih berkuat kuasa.

“Berikutan kontroversi yang timbul daripada penukaran agama anak-anak Loh, Perlis mesti mengambil langkah segera untuk membawa enakmen itu selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Semalam, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengesahkan jabatan agama negeri itu telah mendaftarkan anak kembar Loh berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun sebagai Islam tanpa kehadirannya.

Beliau juga mempertahankan penukaran agama anak-anaknya tanpa persetujuan Loh sambil menjelaskan tiada siapa boleh mempertikaikannya kerana ia sah di Perlis berikutan pindaan 2016. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.