`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 25, 2022

Kelompok dalam Umno bukan perpecahan; sedia bersatu perangi ‘musuh nyata’, kata Asyraf

 

Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno tidak ikut rentak yang cuba diatur lawan, termasuk Bersatu; menyifatkan serangan demi serangan daripada mereka sebagai ‘politik murahan’.

PETALING JAYA: Kewujudan kelompok dalam organisasi besar seperti Umno bukan perpecahan, kerana mereka akan merapatkan barisan apabila berhadapan “musuh nyata”, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Kewujudan pelbagai kumpulan itu tidak menjadi kelemahan Umno, kerana masing-masing akan menyumbang apabila parti melangkah ke ‘medan perang’, seperti kempen PRN Johor yang bermula secara rasmi esok, kata Ketua Pemuda Umno itu.

“Perpecahan (adalah) sangat subjektif. Dalam Umno, memang dari awal penubuhan, sentiasa akan ada berbeza pandangan,” katanya dalam temubual FMT.

Asyraf berkata kepelbagaian itu merupakan keistimewaan Umno, kerana masing-masing membawa kekuatan tersendiri.

“Akan ada ketika semua perbezaan diletak tepi bila saat dan ketikanya. Di Johor, pelbagai kelompok dalam Umno masing-masing saling ‘tumpang-menumpang’, kuat-menguat antara satu sama lain,” jelasnya.

Asyraf berkata kesedaran itu penting agar jentera Umno terus bermotivasi dan yakin sehingga hari pengundian 12 Mac nanti.

Umno serta parti rakan dan lawan akan secara rasmi berkempen untuk menarik sokongan rakyat Johor sejurus penamaan calon esok selesai untuk hari mengundi pada 12 Mac.

Mengambil PRN Melaka sebagai contoh, Asyraf mengingatkan bahawa Umno menghadapi persepsi dan cakap-cakap pemerhati dalam keadaan lemah dan tiada kewangan, serta keberadaan kem-kem tertentu.

“Dalam medan peperangan sebenar, Umno boleh bersatu,” katanya.

Umno pada PRN Melaka Nov lalu, menyanggah pembangkang dan rakan sendiri dalam kerajaan dengan kemenangan memberangsangkan – 21 daripada 28 kerusi yang ditandingi.

Menuju PRN Johor, Asyraf berkata Umno tidak ikut rentak yang cuba diatur lawan, termasuk Bersatu; menyifatkan serangan demi serangan daripada mereka sebagai “politik murahan”.

“Rakyat nak tahu polisi dan dasar. Sampai hari ini kita tak dengar ceramah Bersatu-Perikatan Nasional cuba tawarkan dasar lebih baik daripada BN cuba bawa,” katanya.

“Kalau lihat ceramah kepimpinan BN, kita tak pernah pun memaki hamun. Kita tawarkan kestabilan, rekod prestasi, dalam keadaan rakyat sedang susah dan gelisah,” tambahnya.

Umno berkata PRN Johor perlu diadakan berikutan kerajaan negeri dalam keadaan tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.