`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 19, 2022

Kerajaan sedia pelan intervensi pastikan bekalan telur cukup menjelang Ramadan, Aidilfitri

 

Rosol Wahid berkata, permintaan terhadap telur ayam dijangka lebih tinggi menjelang Ramadan dan Aidilfitri nanti.

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersiap sedia dengan pelan intervensi bagi memastikan bekalan telur ayam di seluruh negara mencukupi untuk kegunaan pada bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid berkata, pihaknya menjangkakan permintaan terhadap telur ayam lebih tinggi berbanding hari biasa pada waktu itu.

Beliau berkata, KPDNHEP dan MAFI juga akan meneruskan advokasi dengan pengusaha telur ayam bagi memastikan kestabilan bekalan menjelang musim perayaan itu.

“Kita sudah maklumkan MAFI untuk diambil tindakan dan saya difahamkan kementerian itu telah ambil langkah untuk pastikan (bekalan telur mencukupi) kerana kita tahu menjelang puasa dan raya, ramai orang akan buat kuih dan sebagainya.

“Jadi penggunaan telur akan lebih daripada biasa,” katanya dipetik Bernama selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Restoran Ikan Bakar di Manir, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Rosol berkata, pihaknya mengesan 95 kesalahan berkaitan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam membabitkan 94 peruncit serta seorang pemborong di seluruh negara dari 5 Feb lepas hingga semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, 87 kes melibatkan kesalahan tiada tanda harga khas merah jambu, tujuh kes menjual ayam dan telur ayam melebihi harga maksimum dan satu kes tiada tanda harga.

“Rekod kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 11,036 peruncit dan 232 pemborong di seluruh negara. Nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah RM14,700, manakala nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM8,733.54,” katanya.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memberi subsidi 60 sen per kilogram kepada penternak ayam dan lima sen bagi sebiji telur semua kategori bermula 5 Feb hingga 4 Jun, sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.