
PETALING JAYA: Satu lagi kluster pendidikan direkodkan di daerah Jasin, Melaka susulan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dalam kenyataan di Facebook memberitahu, kluster tersebut dikenali sebagai Kluster KM40 Kampung Chabau dan sehingga kini, sebanyak 28 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
Katanya, jumlah kes positif itu melibatkan pelajar dan guru termasuk tiga daripadanya dikesan dari luar Melaka.
“Punca jangkitan ialah sporadik dan menular dalam kalangan guru dan pelajar kerana kurang kepatuhan SOP,” katanya.
Sehingga kini, Melaka merekodkan 12 kluster berkaitan pendidikan yang menyaksikan beberapa buah sekolah serta institusi pendidikan ditutup.
Sementara itu, JKN Melaka turut memaklumkan sebanyak 457 kes baharu direkodkan hari ini, sekali gus menyaksikan kes keseluruhan meningkat kepada 83,605.
Katanya, daripada jumlah itu, 204 kes dikesan positif hasil saringan kontak keluarga, 183 sporadik, 39 kontak kerja, 10 kawasan berisiko, lapan kontak sosial, selain tujuh dan enam kes membabitkan sejarah keluar negara dan kontak institusi.
“Setakat ini, 2,365 kes masih dirawat, termasuk dua daripadanya di unit rawatan rapi (ICU) dan satu memerlukan alat bantuan pernafasan,” menurut kenyataan itu lagi. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.