`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, February 23, 2022

Penerima bantuan banjir Klang basah kuyup beratur dalam hujan

 

Penerima bantuan banjir yang lencun tetapi tidak dapat berganjak daripada barisan kerana sudah lama menunggu giliran.

SHAH ALAM: Penerima bantuan bencana banjir di Klang hari ini basah kuyup ketika beratur menunggu giliran untuk mendapatkan dana RM2,000 daripada kerajaan persekutuan dan negeri.

Ada yang berpayung namun lebih ramai yang pasrah bermandi hujan.

Sebelum hujan turun sekitar 3 petang tadi, penerima terlebih dahulu beratur bawah panas terik.

Tinjauan FMT mendapati penerima hadir ke Dewan MBSA Kemuning Utama, Seksyen 33, seawal 7 pagi lagi meskipun SMS daripada pejabat daerah memaklumkan kaunter agihan hanya dibuka pada 3 petang.

“Kita datang awal sebab semalam kita tengok sudah sibuk, orang beratur panjang sambil pegang payung. Kalau boleh lain kali jangan buat macam ini. Kesian warga emas, OKU kena beratur,” kata S Raji, 46.

Beliau mengambil cuti hari ini dan beratur dari 10 pagi tadi kerana mahu mengelakkan kesesakan, seperti dalam video yang tular pada Selasa.

Penerima terdedah kepada panas terik ketika beratur untuk mendapatkan bantuan banjir.

Orang ramai mempersoalkan kenapa bantuan tidak disalur terus ke akaun penerima, lagi-lagi ketika negara masih diancam Covid-19.

“Tahun 2022 masih bagi dengan tangan. Kalau masuk akaun kan lagi senang? Orang sudah susah. Rumah sudah banjir. Barang sudah tiada. Beratur panjang pula,” kata Raji.

Seorang lagi penerima, Rashid Abdul Rahman, 51, mempersoalkan agihan bantuan secara manual sedangkan sudah ada teknologi untuk menyalurkan wang terus ke akaun mangsa banjir.

“Tak usah kita nak beratur panjang macam ini. Kesian pada mereka kena tunggu dan berdiri lama, tapi macam mana nak buat? Sudah aturannya macam ini. Kita ikut sajalah tapi elok dipermudahkan,” katanya.

Seorang pekerja yang menemani ibunya yang sudah tua pelik kenapa pihak pengurusan agihan bantuan itu membuka kaunter pada 3 petang.

“Saya tahu kaunter buka 3 petang tapi nak datang ke sini susah,” kata Kasturi, 28.

Agihan bantuan di Dewan Kemuning Utama dibuat secara manual.

“Kesian pada warga emas tiada kerusi nak duduk. Mungkin buat waktu lain untuk warga emas.”

Agih manual ‘untuk elak kesilapan’

Pegawai Daerah Klang, Faizal Abdul Raji, menjelaskan pengagihan bantuan secara manual lebih selamat dan mengelakkan kesilapan.

“Bila mereka tulis dalam borang, kita tak pasti bahawa nombor (akaun bank) itu betul-betul dia punya,” katanya kepada pemberita.

“Ini untuk elakkan tersalah masuk akaun orang lain. Kalau tersalah masuk akaun orang lain, yang susahnya kita nak ambil semula duit itu. Kalau kita beri secara tunai, sudah pasti dia dapat duit itu.”

Faizal memaklumkan Pejabat Daerah Klang sahaja menerima 70,983 permohonan bantuan banjir. Sehingga Selasa, pihaknya menjayakan 32 sesi agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) melibatkan nilai bantuan sebanyak RM32,617,000.

Beliau juga memberitahu kaunter agihan dibuka pada 3 petang untuk memudahkan mereka yang bekerja hadir mengambil dana tanpa perlu mengambil cuti.

Seorang warga emas sempat memesan makanan ketika menunggu giliran.

Waktu serahan adalah fleksibel dan boleh dilanjutkan ke malam sekiranya perlu.

“Selepas habis kerja, mereka boleh datang malam. Kalau ada yang datang lagi, kita boleh buat sampai 9 malam.” katanya.

Pihaknya sedar ada penerima yang sengaja datang awal selepas menonton video yang tular.

“Siapa yang dipanggil itu (untuk ambil bantuan), duitnya sudah ada di sini. Tak perlu tergesa-gesa. Boleh datang 6 atau 7 petang. Cuaca pun mendung (ketika itu),” katanya.

Agihan turut mendapat kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Selangor yang menguruskan penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan persekutuan.

Sebanyak lima lagi sesi agihan BSB akan dilaksanakan membabitkan 13,996 orang penerima, di Dewan Kemuning Utama (MBSA), Dewan Sri Kerayong (MPK), Dewan Kilat TNB (Jalan Kapar), Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Klang, dan Kompleks Sukan Pandamaran (Klang).

Agihan bantuan dijangka selesai sebelum akhir bulan ini, kata Faizal. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.