PUTRAJAYA: Ramai belia tidak tahu bahawa ia menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan apabila mereka melakukan hubungan seks dengan remaja berusia 16 tahun ke bawah, kata aktivis kanak-kanak.
Pengerusi Bersama Yayasan Inovasi dan Kebaikan Hak Kanak-Kanak (CRIB), Srividhya Ganapathy berkata sebahagiannya disebabkan oleh keengganan kerajaan memperkenalkan “pendidikan seks dan seksualiti yang menyeluruh” dalam kurikulum sekolah.
“Saya bertemu belia di pusat pemulihan atas kesalahan rogol berkanun dan mereka mengakui tidak tahu bahawa seks dengan remaja bawah umur adalah rogol berkanun,” kata peguam itu kepada FMT.
Srividhya berkata maklum balas yang diterima daripada kumpulan berkepentingan lain turut mendedahkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun telah melakukan aktiviti seksual.
Menurutnya, yayasan itu dan badan bukan kerajaan lain (NGO) mencadangkan supaya “pembelaan pasangan kekasih” untuk belia lelaki yang didakwa dengan kesalahan rogol berkanun, di mana dalam kes terbabit mereka mempunyai hubungan dan melakukan seks secara sukarela.
Katanya, pembelaan sedemikian boleh dikuat kuasakan apabila jelas terdapat hubungan antara pihak terbabit, dan perbezaan umur adalah empat tahun atau kurang.
“Apa yang menyedihkan adalah ini memerlukan campur tangan perundangan. Kami masih mendesak perkara ini dilakukan bagi mengelakkan situasi seperti ini,” katanya sambil menegaskan bahawa pihaknya bukanlah mahu mempromosikan seks bebas.
“Kita bukan ingin mempromosikan seks bebas, cuba fahaminya. Bagaimanapun, terdapat keperluan untuk memberi respon terhadap apa yang berlaku di luar sana.”
Srividhya mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin apabila hukuman penjara terhadap bekas pekerja gerai dikurangkan daripada sepuluh ke lima tahun manakala hukuman sebat telah diketepikan.
Ini menyebabkan dia yang kini berusia 23 tahun, berjaya bebas – selepas mendapat pengampunan kerana berkelakuan baik – kerana telah dipenjara sejak 2017.
Ketika berusia 19 tahun, dia didapati bersalah atas kesalahan rogol berkanun kerana melakukan hubungan seks secara sukarela dengan remaja berusia 15 tahun dan empat bulan ketika itu.
Panel tiga hakim yang membenarkan rayuan itu mengambil kira bahawa dia adalah pesalah muda dan mendapati tiada unsur ganas. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.