KOTA TINGGI: Wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain akan melantik peguam bagi membawa kes itu ke mahkamah.
Mangsa, Nur Syafiqah Badsulhisham berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan terkini daripada polis berhubung siasatan kes itu.
“Saya akan ambil peguam, kes ini masih dalam siasatan polis dan ia sedikit sebanyak mengganggu emosi saya kerana ramai beranggapan saya menyebarkan fitnah.
“Sebelum ini, saya tidak membuat laporan kerana mahu menjaga aib kedua-dua pihak dan parti (Bersatu). Kejadian ini benar-benar berlaku, bukan konspirasi sama sekali,” katanya dalam sidang media di kediaman di sini.
Terdahulu, Syafiqah yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Bahagian Kota Tinggi membaca pengakuan sumpah berhubung kejadian itu dalam sidang media hari ini.
Pada 26 Jan lalu, Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan terhadap 11 individu, termasuk ADUN terbabit dan mangsa sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat bahagian perundangan polis.
Hari ini, Kamarul Zaman ketika dihubungi FMT berkata, siasatan membabitkan wakil rakyat itu sedang dijalankan dan belum ada sebarang keputusan.
“Kes masih sedang berjalan dan dalam siasatan, keputusan juga belum diterima,” katanya.
FMT masih cuba menghubungi Rasman untuk mengulas lanjut berhubung dakwaan mangsa.
Bulan lalu, Rasman dilapor menyifatkan tuduhan gangguan seksual itu sebagai konspirasi untuk menjatuhkannya sebagai wakil rakyat.
“Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan di dalam laporan dan menyatakan ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan merupakan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalar reputasi saya selaku seorang wakil rakyat,” kata Rasman. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.