`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 11, 2022

Suami saya ‘tak selamat’ di Dhaka, kata isteri bekas Duta Bangladesh

 

Mohamed Khairuzzaman adalah bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia dari 2007 hingga 2009.

GEORGE TOWN: Isteri bekas Duta Bangladesh hari ini merayu kepada pihak berkuasa Malaysia supaya tidak menghantar pulang suaminya ke Dhaka dengan berkata, “tidak selamat” untuk suaminya berada di sana.

Mohamed Khairuzzaman, 65, bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia dari 2007 hingga 2009, dibawa oleh pihak berkuasa dari kediamannya di Ampang semalam. Dia dilaporkan dikehendaki di negara asalnya atas sebab tidak didedahkan.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, penahanan bekas diplomat itu dibuat menurut prosedur perundangan.

Isteri Mohamed, Rieta Rahman, memberitahu FMT bahawa penahanan suaminya bermotif politik.

“Suami saya seorang yang baik, seorang duta gred A dan lelaki yang tidak bersalah tanpa rekod jenayah,” katanya menerusi panggilan telefon dari Amerika Syarikat, di mana dia kini menetap bersama anaknya.

“Bangladesh tidak selamat untuk orang yang tidak bersama kerajaan sekarang. Dia tidak boleh bertahan jika dia dihantar pulang.”

Tahanan politik

Rieta, 60, berkata, Mohamed sebelum ini pernah ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan selama tiga tahun sembilan bulan pada 1996 dan Amnesty International menganggapnya sebagai tahanan politik dan tahanan hati nurani apabila dibebaskan pada 2001 semasa berlakunya pertukaran kerajaan.

Penangkapan itu adalah berkaitan dengan “pembunuhan penjara” pada 1975 yang mengakibatkan kematian empat ahli parti politik Liga Awami (yang merupakan kerajaan semasa yang memerintah di Bangladesh) Mohamed, yang merupakan bekas pegawai tentera, adalah suspek dalam pembunuhan itu.

Selepas berkhidmat di Kementerian Luar Negeri dari 2003, Mohamed dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Malaysia pada 2007. Dua tahun kemudian, beliau dipanggil semula selepas berlaku pertukaran kerajaan.

Rieta berkata, suaminya memutuskan untuk kekal dalam buangan di Malaysia kerana bimbang akan dianiaya jika berada di sana. Katanya, dia dan suaminya telah mendapatkan status pelarian lebih awal sebagai langkah keselamatan.

Katanya, Mohamed memperbaharui visanya setiap dua tahun tanpa sebarang masalah, tetapi baru-baru dia dinafikan visa oleh pihak imigresen tanpa memberikan sebarang alasan.

Permohonan kad hijau

Rieta berkata, mereka kemudian memohon kad hijau di Amerika Syarikat untuk tinggal bersama anak sulung mereka.

Katanya, Mohamed berdepan masalah dalam melengkapkan permohonan itu kerana tidak boleh mendapatkan pengesahan keselamatan daripada polis Malaysia seperti yang dikehendaki oleh AS.

Dia mempersoalkan “misteri” penahanan suaminya dengan mendakwa bahawa pegawai imigresen yang diiringi oleh “pengiring keselamatan tinggi” telah menceroboh masuk ke rumahnya di Ampang.

“Rakan-rakannya pergi mencarinya tetapi hanya diberitahu bahawa ia adalah kes sulit yang berprofil tinggi. Tiada sesiapa yang tahu apa-apa.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya pagi kelmarin (Rabu). Dia tidak sihat dan berasa tertekan. Memandangkan keadaan itu, dia bimbang tentang anak lelaki kami yang lain di Dhaka.

“Saya tertanya-tanya sama ada dia akan dibenarkan mengambil ubat untuk tekanan darah dan lain-lain (penyakit). Saya harap seseorang boleh hentikan pengusirannya,” katanya.

Beliau berkata, seorang peguam Malaysia telah dihubungi untuk cuba menghalang suaminya daripada dihantar pulang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.