
PETALING JAYA: Bersatu kekal dengan pendirian mereka untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hingga tamat tempoh seperti dinyatakan dalam perjanjian.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Razali Idris, walaupun ada serangan yang mendesak Presidennya, Muhyiddin Yassin menarik sokongan terhadap kerajaan namun parti itu tidak akan goyah.
“Sebenarnya bukan sahaja Bersatu malah Perikatan Nasional (PN) sedia pertahankan kerajaan Ismail Sabri sehingga ke penghujung seperti mana dalam perjanjian kecuali perjanjian itu dilanggar.
“Sepatutnya, mereka tidak perlu mendesak Muhyiddin untuk tarik sokongan, mereka sendiri boleh buat. Umno boleh tarik sokongan apa?
“Umno ada berapa kerusi? Kalau mereka rasa betul-betul tidak bersetuju dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri, mereka tidak perlu memulang paku buah keras kepada orang,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak menerusi hantaran di Facebook sebelum ini berkata Bersatu telah beberapa kali membuat ugutan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan.
“Depa ini tak henti-henti ugut. Hari itu, presiden-presiden parti. Hari ini, giliran penulis manifesto bukan kitab suci. Butangkan ada?” kata Najib.
Razali berkata, Najib yang juga sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) tidak perlu mendesak Bersatu, sebaliknya boleh sahaja mengadakan pakatan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada.- FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.