Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno sudah dengan berani menyatakan kesanggupan untuk melafaz sumpah laknat bagi menafikan dakwaan Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu, tempoh hari.
Muhyiddin, seperti kita tahu, mendakwa Zahid datang ke rumahnya dengan membawa fail “bertimbun” dan meminta beliau “settlekan” kes mahkamah yang dihadapinya. Masa itu Muhyiddin Perdana Menteri.
Sekarang Zahid pula mencabar Muhyiddin untuk bersumpah laknat bagi mempertahankan dakwaan yang dilemparkan ke atasnya.
Muhyiddin mendakwa ketika Zahid datang ke rumahnya dengan fail “bertimbun”, Azmin Ali dan Abdul Hadi Awang hadir. Adakah kedua-duanya dikehendaki melakukan sumpah laknat juga untuk membukti siapa berkata benar siapa berbohong? Entahlah.
Saya ulangi tajuk artikel ini – teringat P Ramlee dengan sumpah waullahnya. Kata-kata itu dicipta untuk filem komedi arahan dan lakonan seniman agung itu. Tetapi apa yang disajikan kepada kita sekarang bukan filem bukan komedi. Ini realiti dan ia perkara amat serius.
Tidak ada yang melucukan.
Muhyiddin seperti disebut dalam artikel saya yang lalu sedang dalam “mode” menyerang, terutamanya menjelang PRN Johor. Semasa menjadi Perdana Menteri dahulu, Muhyiddin dikaitkan dengan “lembik, tidak tegas, suka buat pusingan U”.
Malah dituduh “tidak berani” adakan sidang media, sebaliknya memilih buat pengumuman. Dulu lain sekarang lain kata orang. Sekarang beliau tampak garang, mengancam, dan menyengat.
Sasaran utamanya Umno dan tentulah sekaligus Zahid dan Najib Razak, bekas Presiden parti itu.
Terbaharu (setakat ini) Muhyiddin “berikrar” akan mendedahkan masalah kewangan negara yang “yang lebih besar daripada apa yang dimaklumkan oleh kerajaan persekutuan pimpinan Umno”.
Tentu bagi orang Umno dan mungkin juga rakyat biasa yang tidak memihak, kedudukan kewangan negara bukanlah hebat semasa Muhyiddin jadi PM dahulu. Namun untuk memperkukuhkan dakwaannya kali ini, Muhyiddin berkata beliau sudah mendapat laporan yang disampaikan kepadanya oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
Maksudnya sudah ada dalam tangan Muhyiddin laporan mengenai kedudukan terbaharu kewangan negara yang butirannya akan beliau dedahkan “pada masa yang sesuai”.
Zafrul pula mengesahkan memberi laporan berkenaan kepada Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara yang “memerlukannya untuk buat keputusan tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca Covid-19”.
Namun Menteri Kewangan berkata “ekonomi Malaysia di atas landasan betul”. Lain bunyi dengan dakwaan Muhyiddin walaupun pada hemat saya mereka berdua bercakap mengenai laporan yang sama.
Takkan Muhyiddin kena buat satu lagi sumpah laknat kut? Begitu juga Zafrul? Bagi Zahid semua ‘cerita-cerita’ ini keluar sebab pilihan raya akan diadakan. Dalam erti lain, cerita untuk meraih undi. Benar.
Persoalannya adakah ia berkesan sehingga ‘memaksa’ Zahid menyatakan sedia sumpah laknat untuk membuat penafian?
Adakah ini bermakna kata-kata Muhyiddin “termakan” oleh khalayak khususnya pengundi Melayu yang sememangnya menjadi sasaran utama parti politik untuk mengukir kemenangan di Johor?
Adakah sumpah laknat itu bertujuan menyakinkan juga orang Umno sendiri supaya terus bersemangat untuk berjuang?
Strategi Muhyiddin bagi saya ialah menghakis kekuatan Umno di Johor. Contoh dakwaannya mengenai kedudukan kewangan negara yang “tak semolek yang digambarkan” dibuat ketika berucap pada pelancaran rasmi Perikatan Nasional Johor yang diadakan di kawasan Umno punya pengaruh kuat.
Umno diakui kuat (atau pernah kuat) di Johor. Apa lagi di rancangan Felda negeri itu. Jelas Bersatu sedang “memujuk dan memikat” hati pengundi luar bandar yang pernah menjadi ‘bank’ undi utama Umno-BN.
Muhyiddin dilihat mampu menembusi kubu Umno (jika pun tidak meraih undi) berdasarkan beliau asal Johor, anak guru agama terkenal di Muar, pernah jadi Menteri Besar Johor, menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan Perdana Menteri. Satu CV yang menarik.
Mazlan Aliman, bekas pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan dilapor berkata, kerajaan Perikatan Nasional “telah menunjukkan tekad politik dalam membantu warga Felda dan tidak dapat disangkal Muhyiddin selaku Perdana Menteri mengambil langkah proaktif dalam membawa perubahan di Felda”.
Lantas kata Mazlan, Umno jangan terlalu yakin dalam mengekalkan sokongan warga Felda yang dianggap “simpanan tetapnya”. Bagi saya kata-kata Mazlan sesuatu yang merisaukan Umno dan peringatannya mesti diberi perhatian oleh parti itu.
Bagaimanapun, FMT beberapa hari lalu memetik Felo Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata label “kluster” mahkamah yang digunakan untuk pemimpin Umno tertentu tidak akan menjejaskan Umno-BN pada PRN Johor kelak.
Beliau percaya pemimpin BN masih “popular” terutama Najib kerana pandangannya berhubung pelbagai isu “dapat diterima rakyat”.
Kata wartawan veteran A Kadir Jasin pula “BN tidak kuat dan belum berubah. Malangnya pembangkang berpecah dan lemah”. Saya setuju.
Saya juga setuju dengan kata-kata Zahid “selepas penamaan calon dan tempoh berkempen PRN Johor pelbagai cerita pemimpin Umno akan djaja”. Katanya, strategi musuh Umno ialah “jika tidak boleh menyerang calon Umno di Johor alihkan perhatian ke drama di peringkat nasional”.
Lalu Zahid mengajak kita semua “ayuh ambil popcorn kita tunggu episod seterusnya”. Bagaimanapun Zahid tidak memberitahu Umno pasti juga akan “menjaja” pelbagai cerita pemimpin lawan.
Yang pasti, serang-menyerang, kata-mengata, pendedahan demi pendedahan akan berterusan terutamanya antara Muhyiddin dan Umno.
Kita semua akan menyaksikan “episod seterusnya”, meminjam kata-kata Zahid. Cuma bagi saya, apabila menonton apa yang dipertontonkan, pilihan saya bukan popcorn yang dicadang Zahid. Sebaliknya otak-otak Stulang, rempeyek, dan laksa Johor.
Barulah ada “feel” pilihan raya Johor Darul Takzim. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.