`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 15, 2022

Tersebutlah kisah Umno dengan MCA

 

Satu hari sebelum tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969, Presiden MCA, Tan Siew Sin, mengumumkan partinya akan keluar daripada Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman. Ini berikutan prestasi tidak cemerlang Perikatan (dan tentunya MCA sendiri yang kehilangan Pulau Pinang kepada Gerakan yang ketika itu parti pembangkang) pada Pilihan Raya Umum yang diadakan 10 Mei. Bagaimanapun MCA tidak kota apa yang dikata lalu menyertai MAGERAN yang mentadbir negara ekoran Tragedi 13 Mei .

Pada 1973, Tan meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri diberi kepada partinya ketika rombakan Kabinet dibuat setelah Ismail Abdul Rahman meninggal dunia. Permintaan itu ditolak Perdana Menteri Abdul Razak Hussein.

Jun 2009 dengan tidak semena-mena timbul satu “poll” atau tinjauan pendapat dalam blog versi Inggeris Presiden MCA ketika itu, Ong Tee Keat, bertanyakan “patut atau haruskah MCA tinggalkan BN?”.

Tidak dimaklumkan mengapa tinjauan itu dijalankan. Sasarannya tentulah masyarakat Cina. Dengan cepat ia dinaikkan, dengan cepat juga ia diturunkan. Tetapi tidak sebelum mendapat reaksi marah daripada Umno, rakan MCA dalam BN.

Bagi Umno, itu satu ugutan MCA terhadapnya memandangkan BN yang dikemudi Umno mencatat prestasi buruk walaupun menang peringkat pusat pada PRU12 pada 2008. BN tidak dapat ‘super majoriti’ di Parlimen hasil keputusan pilihan raya itu.

Oleh itu, bagi Umno, tinjauan yang dijalankan menerusi blog Presiden MCA satu tahun setelah PRU12 diadakan, menggambarkan MCA tidak mahu memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan pilihan raya 2008. Apa pun MCA tidak keluar BN dan isu itu senyap. Hanya Ong menyifatkan persoalan yang diaju ‘relevan’ semasa ia ditanya.

Anjak ke depan. Berikutan kekalahan BN pada PRU14 2018, MCA tidak sekadar mengancam keluar dari BN. Jauh lebih serius. Parti itu menerusi Perhimpunan Agungnya yang diadakan Disember tahun yang sama memutuskan BN dibubarkan “selepas melihat senario politik semasa negara” waktu itu.

Buat pertama kalinya Pengerusi BN (Presiden Umno) bukan pemimpin yang merasmikan perhimpunan, malah rakan sekutu mereka juga tidak dijemput.

Bagi Presiden MCA, Wee Ka Siong, ini bagi membolehkan perwakilan MCA bebas menyuarakan pandangan dan pendapat. Sesuatu yang pelik kerana Umno dan komponen lain dalam BN tidak dijemput untuk hadir perasmian perhimpunan di mana perwakilan belum memulakan hujah untuk “bercakap secara bebas”.

Apa juga yang diperkatakan kelak oleh para perwakilan dan diputuskan perhimpunan akan diketahui juga oleh Umno dan parti komponen lain (malah seluruh negara) sama ada menerusi media massa mahu pun media sosial, maka alasan Wee tidak masuk akal.

Hakikatnya MCA ketika itu sudah tidak mahu kena mengena apa pun dengan BN, terutama Umno. Mereka menyalahkan Umno yang terpalit pelbagai isu dan skandal sebagai penyebab kekalahan mereka. Bagi MCA, ia ditolak pengundi Cina kerana hubungannya dengan Umno.

Pun begitu BN tidak bubar dan MCA kekal di dalamnya bersama Umno, sehingga hari ini. Malah apabila Pakatan Harapan digulingkan menerusi rampasan kuasa Langkah Sheraton, MCA menyertai kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin, dan Wee menjadi Menteri.

Apabila Umno bertindak menjatuhkan Muhyiddin, MCA tidak bersama. Tetapi apabila Umno berjaya, MCA diterima kerajaan Keluarga Malaysia. Wee kekal Menteri dalam kerajaan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob. Sehingga sekarang.

Siapa yang mendapat untung hasil hubungan Umno-MCA? Pada zaman kegemilanganya pun calon MCA menang di kerusi campuran atau majoriti Melayu hanya dengan sokongan Umno.

Berpandukan urutan sejarah, ancaman MCA untuk tinggalkan Perikatan dan BN kerap terjadi dan diulangi.

Benar Umno adalah “tuan” dalam konteks BN. Kerap juga Umno dilihat “membuli” MCA khususnya berkaitan isu tertentu. Tetapi MCA juga mendapat manfaat kerana berbaik baik dengan Umno. Cuma persoalannya siapa dapat untung lebih? Umno atau MCA? Terpulang kepada interpretasi masing-masing.

Umno memerlukan MCA untuk mendapat sokongan atau undi orang bukan Melayu terutamanya Cina. Undi Cina pernah disumbang MCA kepada Umno suatu masa dahulu, terutama zaman Perikatan pimpinan Tunku dan Tun Razak juga zaman awal BN. Namun lama kelamaan sumbangan MCA kepada Umno-BN terhakis dan mengecil. Sejak 2008 sehingga kini MCA tidak boleh diharapkan untuk mendapat sokongan masyarakat Cina untuk Umno-BN.

Menurut pemerhati politik, majoriti masyarakat Cina menyifatkan MCA sebuah parti yang “berjuang untuk diri sendiri, bukannya rakyat Malaysia dan apa lagi orang Cina”. Seorang kawan lama mengingatkan saya akan satu jenaka lama yang sinis – “MCA stands for Money Control All”. Wee Ka Siong pula dilihat sebagai pemimpin yang bermain dan terperangkap dalam politik BN dan PN.

Meskipun kempen di Melaka tahun lalu memberangsangkan di mana ia menang dua kerusi DUN, MCA akan terus bergelut untuk memenangi undi Cina dan terpaksa bergantung kepada Umno demi kelangsungannya. Itu kata penganalisis politik Ahmad Fauzi Abdul Hamid kepada FMT.

Berkata beliau lagi: “Peranan MCA dalam kemenangan BN agak kurang penting dalam erti kata bahawa gabungan itu tidak boleh mengharapkan MCA untuk memberikan undi Cina”. Walaupun sokongan masyarakat Cina terhadap DAP berkurangan sejak PRU14, ini kata Fauzi, tidak bermakna pengundi Cina akan beralih “beramai-ramai” kepada MCA.

Ramai pemerhati dan penganalisis politik setuju. Termasuk saya. Walaupun beliau bercakap mengenai prospek MCA pada PRN Johor, saya kira ulasan yang sama boleh diguna pakai untuk PRU15 kelak.

Apa pun, Umno tahu akan itu semua. Kata orang sejarah mengajar seseorang menjadi lebih dewasa. Pengajaran dijadikan iktibar untuk masa akan datang. Tidak tahu pula saya sama ada Umno berpegang dengan kenyataan itu.

Yang pasti Umno mahu MCA untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu untuk memerintah negara. Umno tahu MCA tidak boleh diharapkan lagi. Lantas bak kata seorang lagi penganalisis politik Oh Ei Sun, MCA bagai komponen “hiasan” dalam BN .

Kata Oh lagi, seperti dilapor FMT beberapa hari lalu, beliau lebih percaya BN (Umno) telah “berputus asa” dalam usaha memenangi kerusi majoriti Cina dan akan menyerahkan kerusi itu kepada MCA.

Adakah ini bermakna Umno-BN menghantar MCA ke medan perang untuk kalah dan bersedia terima hakikat kerusi itu semua tidak boleh dimenangi MCA? Oh tidak menghurai lanjut. Cuma berkata “saya percaya Umno mengintai kerusi campuran dengan populasi Melayu yang ketara”.

Oh, seperti Fauzi, bercakap mengenai PRN Johor. Sekali lagi bagi saya ulasan beliau boleh digunakan apabila bercakap mengenai PRU15 .

Di Johor beberapa bahagian Umno sudah pun menghantar permohonan untuk bertanding di kerusi yang pernah ditandingi parti komponen BN. Ertinya, Umno mahu kerusi yang ditandingi MCA dan MIC.

Setuju atau tidak – suka Umno atau tidak, kali ini parti itu rasanya tidak boleh dipersalahkan jika mengambil tindakan begitu dan mengetepikan MCA.

Jika formula itu berjaya di Johor pasti ia akan digunakan pada lain pilihan raya terutama PRU15. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.