`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 18, 2022

Wanita larikan kereta, langgar kenderaan lain ditahan

 

Tangkap layar video tular semalam menunjukkan suspek bertindak memandu kereta jenis Honda City yang dibawa larinya secara agresif dan kemudian melanggar beberapa kenderaan. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditahan kerana disyaki melarikan sebuah kereta milik sepasang suami isteri yang ditinggalkan tanpa mematikan enjin kenderaan di Jalan Genting Klang di sini, petang semalam.

Suspek berusia 38 tahun dan memiliki 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah bertindak memandu kereta jenis Honda City secara agresif dan kemudian melanggar beberapa kenderaan seperti dipaparkan menerusi rakaman video yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Ashari Abu Samah berkata, hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 2.30 petang di hadapan Kolej Vokasional Setapak, ketika mangsa lelaki bersama isterinya keluar dari kenderaan tanpa mematikan enjin untuk mengangkat barang.

“Mangsa kemudian mendapati kenderaannya dibawa lari seorang wanita menghala ke pusat bandar. Mangsa kemudian bertindak meminjam motosikal milik pengawal keselamatan yang berada berdekatan untuk membuat laporan polis.

“Apabila tiba di lampu isyarat hadapan Setapak Central, mangsa mendapati kenderaannya terbabit dalam kemalangan selain suspek telah ditahan oleh orang awam dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata suspek disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.