`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 17, 2022

Yang harus satay itu Loh Siew Hong

 

Loh Siew Hong bertanya mengapa dia tidak dibenarkan berjumpa dengan anak-anak perempuannya sedangkan kebenaran diberi kepada Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin. Saya baru sahaja selesai mengetuai satu penyelidikan mengenai kebebasan beragama di Malaysia, bersama-sama IMAN Research, didanai oleh American Bar Association. Memang yang seperti kes dialami Loh ini selalu kami temui dalam kajian lapangan. Kami selalu berdepan dengan suara sebak tertahan dan tangis tumpah yang memerihalkan keadaan sebegini. Persis kes Loh.

Kes seumpama Loh ini kami namakan “unethical conversion” atau penganutan ke sesuatu agama secara tidak beretika. Ia ‘nampak’ sah dari segi undang-undang, akan tetapi ia tidak beretika. Ia tidak bermoral. Hairan sekali, ada orang mahu kita yakin yang Allah mahu menerima mereka yang menganut agama-Nya tanpa benar-benar memahami apa yang dianut. Saya percaya Allah mahu kita beriman dengan sesungguhnya. Bukan dengan cara terpedaya. Jengkelnya, cara pengamalan Islam di negara ini semakin hari semakin pelik.

Dalam kajian lapangan kami, ditemukan kes seumpama apa yang dialami oleh Loh Siew Hong ini. Misalnya, seorang lelaki Orang Asli dari Bidor, Perak menceritakan kepada kami bagaimana penjawat awam memujuk, memperdaya, menghelahkan, dan akhirnya membuatkan secara paksa-rela individu dari komuniti Orang Asli untuk memeluk agama Islam. Padahal bukan itu yang individu tersebut inginkan. Menurut lelaki tersebut:

“Orang selalu kata Orang Asli tiada agama. Sejak zaman sekolah banyak kekeliruan. Mula-mula budak Melayu ingat saya Melayu, kemudian bila beritahu etnik dan kepercayaan, mereka tak nak kawan dah.

“Kalau dalam trend, Orang Asli kebanyakannya nama Melayu, tapi bukan orang Islam. Ceritanya ialah…apabila pergi ke JPN untuk daftar nama anak dalam surat beranak, the JPN officer biasanya galakkan beri nama Melayu sebab bagi alasan first, sedap didengar; senang nak eja…kalau dalam tahun 60-an, nama Orang Asli memang macam Orang Asli.

“Kita belum direcognize untuk decide our own name, our own faith…”

Bukan sahaja Orang Asli di Semenanjung membuat aduan begini kepada kami, malah kami menemukan masyarakat pribumi tertentu di Sabah dan Sarawak yang mengalami hal sama. Seorang lelaki Dusun memberitahu kepada kami pasukan penyelidik apa yang beliau katakan sebagai “unethical conversion” ini:

“Dan saya terkejut because seorang penjawat awam, seorang pegawai, you would not say that. Paling senang kau dapat sijil kewarganegaraan nanti, kau masuk Islam, confirm kau dapat. Saya tidak tahu to what extent pihak JPN ini, perlu juga ada pendedahan. This are very sensitive issue ya. And yet, seorang pegawai, seorang penjawat awam, seorang yang melaksanakan polisi pentadbiran harian kita mengatakan sedemikian.”

Hal di atas ini sangat menekan dan menyakitkan hati mereka yang mengalami. Penganutan atau kemasukan ke dalam agama Islam secara perdaya dan tanpa etika ini menimbulkan kerusuhan yang lain selalunya dua dekad kemudian. Apabila individu tersebut kini sudah punya keluarga, atau ingin berkahwin, atau sudah meninggal dunia; maka banyak pertikaian terjadi sehingga keharmonian dalam masyarakat terjejas.

Apa yang dialami Loh ini sangat menjijikkan untuk kita yang beragama Islam tulen. Anak-anak beliau dipisahkan daripadanya ketika beliau sakit dan tidak mampu menegah tindak-tanduk bekas suaminya. Anak-anak itu dipisahkan secara diam, dan apabila ditemui kembali; jangankan dekat, Loh malah tidak dapat makan satay bersama-sama anaknya. Yang menikmati satay dan duduk bersama anak-anaknya ialah orang asing, sang mufti yang saya tidak tahu atas kapasiti apa dia punya peranan dan peluang untuk menemui mereka.

Masalah demi masalah kebebasan beragama di negara ini berlaku kerana golongan agamawan mempunyai terlalu banyak kuasa untuk melakukan sekehendak mereka.

Adalah amat malang, minoriti agama dan orang yang tidak berdaya di negara ini dibujuk dan diperdayakan untuk menganut dan mempercayai sesuatu kepercayaan atau agama yang mereka tidak ingini.

Iman haruslah luar dalam. Menurut cicit Rasulullah, seorang ulama terkenal – Muhammad Ali al Baqir – iman itu adalah qawl bi al-lisan (kata-kata di lidah), keyakinan pada hati atau tasdiq bi al-janan dan perbuatan, tindak-tanduk iaitu amal bi al-arkan.

Masalah-masalah seperti penganutan beragama yang tidak beretika ini sebetulnya harus dicegah bukan sahaja oleh orang awam seperti kita yang melihat keadaan tidak adil ini. Ketua negara harus campur tangan kerana raja-raja adalah ketua negara untuk semua, dan bukan semata-mata ketua agama Islam. Kesetiaan kepada raja adalah rukun pertama dalam rukun negara dan harus terlihat terpancar secara nyata dalam kehidupan rakyat jelata baik agama apa sekali pun.

Sudah masanya baginda tuanku Sultan campur tangan dalam hal melebih-lebih oleh para agamawan ini. Hentikan gejala ini. Saya ingin mengingatkan bagaimana Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada 10 Dis 2020 bertitah yang semua kaum dan agama ada bahagian untuk dilindungi dan rasa dinaungi oleh ketua negara ini:

“Rakyat dalam semua kawasan Dewan Negeri, sama ada diwakili oleh ADUN Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan, sama ada orang Melayu, orang Asli, orang Cina dan orang India, begitu juga penganut Islam, penganut Kristian, penganut Hindu dan pengikut Buddha, serta yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan, mempunyai keperluan yang sama, menanggung penderitaan yang sama, memiliki harapan yang sama, menagih perhatian yang sama. Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina, India; Islam, Kristian, Hindu dan Buddhist, ialah makhluk ciptaan Ilahi; kesemua mereka rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.”

Kes seumpama Loh Siew Hong harus dicegah dari terus berlaku. Justeru “unethical conversion” harus dihentikan dan kami yang melakukan kajian selama lebih dua tahun di IMAN Research dan American Bar Association ada beberapa penawar dan solusi yang boleh dikongsikan. Kami sedia berkongsi dapatan kami.

Hari ini, melihat foto Loh menangis kerana tidak dapat menemui anak-anaknya amat memilukan hati kita. Saya tidak tahu kalian, tetapi saya yang berperikemanusiaan merasai dukanya. Lebih menyakitkan hati ialah melihat gambar anak-anaknya dijamu makanan lazat dengan mufti Perlis.

Kita semua tahu, yang harus menjamu cucuk satay sedap di meja itu Loh Siew Hong, bukannya Mohd Asri Zainul Abidin. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.