`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, June 25, 2023

Tuntutan Sulu: Tiada mekanisme pengawasan, proses timbang tara disalah guna, kata Azalina

 

Azalina Othman Said berkata, perjalanan kes tuntutan waris Kesultanan Sulu jelas mencerminkan bagaimana proses timbang tara boleh terdedah kepada penyalahgunaan.

KUALA LUMPUR: Ketiadaan mekanisme pengawasan dan kegagalan penimbang tara mematuhi standard etika dan profesional yang tegas menyebabkan proses timbang tara disalah guna untuk mengancam negara-negara berdaulat, kata Azalina Othman Said.

Menteri undang-undang dan reformasi institusi itu berkata, mekanisme pengawasan penting untuk memastikan penimbang tara berpegang kepada standard etika yang ketat bagi mengelakkan “berat sebelah” atau prasangka.

Menjadikan kes tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia sebagai contoh, Azalina berkata, perjalanan kes tersebut jelas mencerminkan bagaimana proses timbang tara boleh terdedah kepada penyalahgunaan oleh pihak penimbang tara.

“Dalam kes Sulu, tiada elemen profesionalisme dan tingkah laku beretika yang mana proses timbang tara itu tidak dipersetujui kedua-dua pihak yang terlibat (penuntut dan kerajaan Malaysia).

“Perintah award dikeluarkan secara tidak sah, yang mana penimbang tara itu sudah dibatalkan pelantikannya oleh Mahkamah Sepanyol, sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan kes berkenaan.”

Dalam kes itu, lapan individu mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu membuat tuntutan USD15 bilion terhadap Malaysia.

Bagaimanapun, keputusan anugerah akhir didakwa dikeluarkan secara tidak sah oleh seorang penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa kepada kumpulan yang menuntut.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, proses timbang tara pada hari ini juga terdedah kepada penyalahgunaan kerana proses itu sendiri boleh dipindahkan.

Sebagai contoh katanya, sebelum keputusan di Sepanyol diperoleh, penimbang tara memindahkan kes ke Paris dan penuntut kemudiannya berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan dari perintah itu di negara seperti Belanda dan Luxembourg.

“Kita boleh buat kesimpulan, pihak yang membuat tuntutan boleh memindahkan proses ini ke negara-negara (yang mempunyai keanggotaan dalam Konvensyen New York 1958) mengikut pilihan mereka hingga dapat mencapai satu keputusan yang menguntungkan mereka.

“Mereka berupaya menggunakan taktik ini kerana menerima pembiayaan yang tinggi daripada dana litigasi dan pelabur yang menyokong usaha mereka, dengan harapan jika penuntut berjaya dalam proses timbang tara ini, mereka akan mendapat laba sebagai komisen dari perintah award itu. Usaha mereka ini boleh berterusan,” katanya.

Azalina berkata, tuntutan kumpulan yang mengaku sebagai waris kesultanan Sulu itu suatu tuntutan timbang tara palsu dan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan negara.

Beliau berkata, usaha juga sedang dilakukan secara seiring untuk lebih memahami kes Sulu dan bagaimana proses timbang tara boleh diperbaiki untuk mengelakkan ia disalah guna, antaranya dengan penganjuran Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 yang akan berlangsung pada 4 Julai depan di Sabah dan di London pada akhir tahun ini.

Katanya, kolokium serupa yang diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu, menghimpunkan ahli akademik, peguam, ahli sejarah dan komuniti timbang tara antarabangsa yang berfungsi sebagai platform untuk mendorong perbincangan tentang kes Sulu.

Azalina berkata, kerajaan akan terus melaksanakan segala usaha bagi menamatkan tuntutan timbang tara Sulu yang turut menggunakan negara-negara lain bagi menguatkuasakan perintah award yang tidak sahih kerana kos pengendalian bagi perintah palsu ini akan memberi impak kewangan kepada negara dan wang rakyat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.