`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 1, 2024

Pekerja maut renjatan elektrik di tapak binaan

 

Lokasi kejadian di mana seorang pekerja asing maut akibat terkena renjatan elektrik semasa kerja kimpalan. (Gambar JKKP)

GEORGE TOWN: Seorang pekerja asing maut selepas terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja kimpalan di sebuah tapak pembinaan menggunakan “scissor lift” atau pengangkat gunting, di sini, Sabtu lepas.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira 9.45 pagi dan siasatan awal mendapati lelaki berkenaan merupakan pekerja subkontraktor dilantik untuk menjalankan kerja pemasangan penyaluran dan perpaipan di tapak pembinaan tersebut.

“Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri oleh rakan yang menyedari lelaki itu tergantung di atas ‘scissor lift’ dan membawanya turun sebelum keluar dari tapak pembinaan tersebut.”

Mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang.

JKKP Pulau Pinang memaklumkan notis pemberhentian kerja serta-merta bagi pemasangan penyaluran dan perpaipan di tapak pembinaan itu dikeluarkan.

Ia turut mengarahkan majikan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada pihaknya.

JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan, dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi dikenal pasti, selain mengadakan lawatan susulan ke premis itu selepas tindakan penambahbaikan serta pencegahan diambil.

“Menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.