`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 22, 2024

Antara usaha dan nasib

 

Free Malaysia Today

Dahulu saya sering tertanya-tanya apakah usaha dan nasib itu bergerak berasingan di landasan masing-masing dan tidak bersandar antara satu sama lain. Andai ditakdirkan keduanya bertembung pada satu titik pertemuan maka menjadilah ia. Berjayalah kita.

Contohnya, seseorang itu cuba mencari nafkah dengan menjalankan pelbagai perniagaan. Dia gigih berusaha bukan sekali, banyak kali; tetapi semuanya gagal. Buka kedai baju, rugi. Buka kedai makan, tutup. Akhirnya dia memilih untuk bekerja makan gaji sahaja di kilang. Apakah memang nasibnya sudah ditakdirkan sebegitu? Dia mahu berjaya dengan bekerja sendiri – maka itu dia berusaha bersungguh-sungguh tetapi sebaliknya berlaku.

“Kau jangan putus asa. Cuba lagi! Allah belum bagi rezeki lagi,” kata kita cuba menasihati dia. Ewah! Senangnya cakap.

Saya teringat lagu kumpulan rock Lefthanded dengan judul yang sama ‘antara usaha dan nasib’. Baitnya berbunyi:-

‘Di susur tangga pertama
nasib jua menentunya
tewas ataupun jaya!
jangan engkau melupakan iradat dan kudrat tuhan
semuanya ditentukan tuhan!’

Habis tu jika semuanya sudah ditentukan mengapa kita senang-senang sahaja suruh kawan kita terus mencuba lagi? Berapa kerugian harus dia hadap untuk dia berjaya sedangkan dia sudah banyak berhabis untuk itu? Kita bukan cakap tentang orang yang semberono. Kita cakap tentang mereka yang bermula dengan cermat dan berilmu. Di atas kertas semua strategi dan perancangan perniagaannya baik namun di gelanggang sebenar ia tak menjadi. Bolehkah kita kata yang dia tidak ada nasib di bidang yang dia cebur itu?

Itulah persoalan saya dahulu. Ada yang bersungguh-sungguh mencuba tetapi tak bernasib baik. Ada yang nasibnya baik pula. Mudah sahaja mendapat tempat tanpa perlu bersusah-payah mencuba. Bagaimana tu? Di mana keadilan?

“Itu rezeki dia!” tempelak kawan saya.

“Habis, yang betul-betul hendak. Yang betul-betul mencuba cari rezeki di situ tak dapat pulak?” betah saya.

“Kau tengok ni!” kata kawan saya menunjukkan gambar seorang tokoh politik terkenal bersama anaknya. Berita tersebut menceritakan yang anak tokoh politik tersebut telah berjaya ‘graduate’ di bidang profesional. “Inilah yang dikatakan benih baik jatuh ke laut menjadi pulau.”

Saya meloya dengan kata-kata kawan saya yang saya kenal dia ini memang mudah kagum dengan susuk-susuk terkenal. Saya tahu dia menilainya berdasarkan sistem yang telah pun disusun dalam kehidupan normal kita iaitu bersekolah tinggi-tinggi, memiliki sijil dan berkerjaya hebat. Itu definisi kejayaan. Bila kita berkumpul bersama sanak-saudara dan kawan-kawan itulah cerita kita. Ukur-mengukur kejayaan ahli keluarga kita. Saya katakan kepada kawan saya itu ia adalah tentang peluang dan nasib.

Bapa politikus itu latarnya seorang yang berkerjaya profesional dan ada kabel dengan menteri itu dan menteri ini maka itu anaknya berpeluang menikmati pendidikan yang baik. Anaknya pun ‘berjaya’ (berjaya menurut definisi kebiasaan kita semua iaitu ada kerjaya dan hidup senang) dan melahirkan zuriat yang juga berpeluang menikmati pendidikan tinggi. Untuk masyarakat, tiga generasi keluarga ini pasti dipandang hebat dan berjaya.

Bagi saya pula datuk, anak dan cucu ini tidaklah luar biasa. Kejayaan mereka saya kira sekadar patut sahaja. Iyalah, dengan segala kelebihan yang ada, wajarlah mereka dapat. Tak patut sangatlah kalau mereka gagal dan mensia-siakan kelebihan yang dilambak di hadapan mereka

“Ada ramai orang yang bijak setanding dengan mereka tetapi terkandas dek kerana latar keluarga yang miskin. Dia harus melupakan cita-citanya dan pergi keluar bekerja untuk memelihara ibu bapanya yang uzur. Bagaimana?” saya bertanya. “Cita-citanya tak kesampaian hanya kerana nasibnya dilahirkan miskin padahal dia berpotensi. Keputusan akademiknya sentiasa cemerlang.”

Kawan saya membisu. Mungkin berat untuk dia memahami hidup dan hambatan sekelilingnya.

“Untuk aku maksud benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau ini ialah manusia biasa yang bingkas bangkit menjadi luar biasa. Dia datang daripada keluarga susah, berada di persekitaran yang sederhana dan dalam sebuah masyarakat kelas pekerja tetapi dengan segala keterbatasan itu dia mampu harung dan berjaya. Maksud berjaya bukanlah pada bertimbunnya sijil tetapi dia mampu bekerja dan menyumbang kepada keluarga, bangsa, agama dan negara.”

“Aku tidaklah pula menyatakan sijil ijazah semua itu tak perlu tetapi yang aku mahu ialah cara kita memandang dan menilai sebuah kejayaan.” Demikian saya menegaskan. “Kita barangkali sama berpotensi bermain dengan baik tetapi tak semua antara kita mendapat gelanggang yang sama.”

Kata Hamlet, ‘to be or not to be: that is the question’. Dalam matematik pun ada tajuk kebarangkalian (probability), tentang bagaimana sesuatu itu mungkin jadi begini dan tidak jadi begitu berdasarkan faktor tertentu. Meskipun dilihat boleh menjadi tetapi atas sebab-sebab tertentu, ia tak menjadi. Sebab-sebab tertentu itulah yang dinamakan nasib.

Ketika mengaji tasawuf, saya diberitahu oleh guru saya bahawa kejadian kita ini seperti sebutir biji sawi. Di dalam biji sawi yang halus itu telah tersurat semuanya rupa dan rasa sawi itu, berapa tinggi dan besarnya ia dan bilakah matinya ia. Itulah yang telah disuratkan. Itulah takdir sawi tersebut.

Saya bertanya kepada guru saya apakah hayat sawi yang telah disuratkan sejak dari ia masih biji benih itu bergantung juga kepada faktor luaran yang lain? Faktor cuaca, perubahan iklim, baja atau serangan serangga misalnya, adakah turut mempengaruhi nasib sawi itu juga ketika ia mula mencambah dan membesar? Atau, apakah faktor cuaca, iklim, baja dan siput babi yang mengancamnya itu sudah dimasukkan sekali di dalam takdir biji sawi itu? Ah! Berkerut dahi guru saya.

Untuk lebih mudah faham, begini! Adakah tokoh politik yang dibanggakan oleh kawan saya itu tadi mampu berada di kedudukannya sekarang jika bapanya miskin tegar? Mampukah anak-anak si politikus kebanggaan kawan saya itu memperoleh ijazah jika bapanya yang miskin gagal menyediakan apa yang dia dapat selama ini lantaran dek kemiskinan?

“Bapak lu kaya, bolehlah!”

Begitu? Itulah yang saya maksudkan dengan usaha, nasib, takdir dan peluang. Masing-masing ada takdir dan nasib mereka sendiri. Masing-masing ada peranan dalam hidup masing-masing. Yang kita nampak mereka mendapatnya dengan mudah, sebenarnya berat tanggungjawab yang mereka kena pikul. Yang kita nampak susah, sebenarnya mudah kerana ia tidak dibebani dengan tanggungjawab tersebut.

Maka dengan berfikiran begitu barulah kita berasa lega dan reda serta tidaklah kita mendengki dengan orang lain. Jika kita ukur kejayaan kita dengan membandingkan dengan kelebihan orang lain kita pasti akan mempertikaikan ketidakadilan suratan kita. Kita gagal melihat kejayaan kita atau dengan kata lain, kita berjaya melihat kegagalan kita.

Jadi, apa maksud kejayaan sebenarnya, Ron? Tanya kawan saya setelah mendengar panjang lebar bebelan saya tadi.

“Entah. Cuba engkau baca surah al-Baqarah ayat 1 hingga ayat 5. Itulah maksud bagi orang-orang yang berjaya,” kata saya.

“Berat sangat pemikiran kau kali ni, Ron. Tak larat aku!” sungut kawan saya.

Sebab itu Rukun Iman keenam itu wajib kita mengimani qada’ dan qadar. Berat juga kalau nak diperhalusi betul-betul bab itu, kata saya.

Kawan saya menggaru kepala dan melepaskan keluhan. “Lain kali cerita biasa-biasa sajalah. Cerita bab nasib, takdir dan usaha ni payah nak faham!”

Ha! Ha! Usahkan dia. Saya pun serabut juga. Memang begitu agaknya lumrah hidup. Kita akan sentiasa diserang keliru. Selepas mendapat jawapan bagi satu-satu persoalan kita akan kembali keliru dengan persoalan lain pula. Begitulah ia berulang-ulang! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.