`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 22, 2024

Lagi kisah tahanan rumah

 

Mohsin Abdullah

Tajuk tertera di atas adalah pemberitahuan bahawa penulisan ini lanjutan artikel saya disiar FMT Sabtu lalu. Yakni 20 Okt 2024 berjudul ‘Alkisah peluang kedua dan tahanan rumah’. Imbas kembali ia ditulis apabila soal ‘peluang kedua untuk pesalah dan tahanan rumah’ dimasukkan dalam ucapan Belanjawan 2025 dan kemudian disahkan menteri dalam negeri bahawa satu rang undang undang (RUU) berkaitan akan dibentang di Parlimen tahun depan.

Artikel ini saya tulis kerana ramai yang masih bercakap mengenainya. Ada yang bimbang dan tidak senang kerana mensyaki penahanan rumah adalah untuk menyenangkan atau meringankan golongan elit yang sekarang menjalani hukuman di penjara setelah didapati bersalah oleh mahkamah. Rasanya kita tahu siapa golongan elit dimaksudkan walaupun tidak ada nama disebut secara terbuka.

Namun, portal berita Scoop memetik beberapa peguam mengaju pertanyaan adakah cadangan mewujudkan penahanan rumah bertujuan melepaskan Najib Razak dari penjara. Umum tahu bekas perdana Menteri itu sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah kes SRC International dan sedang dibicarakan beberapa kes lain berhubung skandal 1MDB.

Setakat ini tidak ada respons daripada kerajaan berhubung isu Najib. Cuma Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub ‘somehow deemed it right’ untuk tampil mendakwa RUU tahanan rumah ‘bukan untuk menyelamatkan Najib’ yang sedang menjalani hukuman di penjara Kajang. Beliau dipetik berkata demikian juga oleh Scoop. Tetapi tidak pula memberitahu dari mana mendapat informasi sehingga berkata apa yang beliau kata.

Sehingga kini, Saifuddin Nasution Ismail selaku menteri dalam negeri yang bercakap mengenai isu ini. Setelah mengesahkan RUU berkenaan pada 19 Okt lalu beliau dipetik lagi oleh media mengenai perkara itu sehari kemudian.

Kali ini beliau dilapor berkata tidak perlu ditimbulkan polemik siapa yang layak dipertimbangkan untuk menjalani penahanan rumah kerana pesalah perlu melepasi beberapa tahap tapisan termasuk memilik rekod disiplin baik semasa di penjara.

Saifuddin juga berkata, RUU berkenaan antara lain meliputi pesalah pertama yang tidak melakukan kesalahan berat, wanita mengandung, warga emas dan orang kurang upaya. “Ia juga disasarkan kepada pesalah yang melakukan kesalahan tidak serius – contohnya ibu tunggal dihimpit kemiskinan yang mencuri susu kerana ingin memberi anaknya makan dan dijatuhi hukuman penjara,” kata beliau.

Sesungguhnya golongan itu semua wajar diberi ‘peluang kedua’. Namun seperti dikatatakan tadi pihak yang buat ‘bising’ masih ‘bising’ kerana gusar dan marah jika yang mendapat ‘manfaat’ daripada RUU itu ialah golongan elit yang melakukan rasuah dan salah guna kuasa.

Sehingga kini tidak ada peruntukan dalam sistem perundangan negara yang membolehkan banduan memohon untuk diberi tahanan di rumah. Bagaimanapun menurus teks ucapan Belanjawan 2025 apabila dikuatkuasakan ‘pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau pegawai penjara’.

Berdasarkan kenyataan itu saya bertanya adakah ini bererti pesalah yang menikmati ‘house arrest’ bebas bergaul dengan sanak-saudara dan penghuni khususnya jika ditahan di rumah kediaman sendiri? Ertinya mereka hanya tidak boleh keluar dari rumah tetapi boleh melakukan apa sahaja di rumah? Begitu jugakah jika ditahan di ‘rumah jagaan atau asrama pekerja?’ Dan bolehkah mereka menerima kunjungan pelawat?

Dan siapakah yang akan menyediakan makanan untuk pesalah dalam tahanan rumah? Pegawai penjarakah? Kerana menurut teks ucapan Belanjawan 2025 ‘syarat ditetapkan dan dipantau pegawai penjara’.

Saifuddin juga diberitakan berkata kira kira 20,000 pesalah kategori tertentu layak dipertimbangkan untuk tahanan rumah. Bermakna 20,000 pesalah ditempatkan di rumah di seluruh negara.

Pegawai penjara dipertanggungjawabkan memastikan pesalah tidak keluar rumah. Dikurung kerana mereka masih banduan. Cukupkah pegawai penjara untuk menjaga tahanan rumah? Jika seorang pegawai ditugaskan untuk jaga seorang pesalah bererti 20,000 pegawai diperlukan. Tetapi takkan seorang ditugaskan jaga seorang pesalah sepanjang hari? Maknanya paling tidak dua pegawai diperlukan untuk jaga seorang tahanan rumah. 20,000 maknanya 40,000 pegawai diperlukan. Dan mereka diperlukan menjaga rumah tahanan di seluruh negara. Kena berulang-alik gamaknya. Betul ke kiraan saya yang sememangnya tidak mahir ilmu kira-kira.

Laporan MyMetro bertarikh 3 Jan 2023 memetik Saifuddin memberitahu kekuatan semasa Jabatan Penjara Malaysia (ertinya sehingga tahun lalu) adalah 14,000 di seluruh negara. Mungkin jumlah itu sudah bertambah sekarang?

Yang jelas banyak perkara mesti difikirkan sebelum RUU tahanan rumah dibentangkan. Ini sekadar menyatakan apa yang nyata. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.