Mangsa ditemui di mati di unit kediaman pangsapuri kira-kira jam 11 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Johari Yahya berkata, dua suspek yang juga teman serumah mangsa ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan di lokasi kejadian, petang semalam.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima satu laporan berhubung kejadian kematian seorang lelaki warga tempatan yang ditemui di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Damai Ria, Mantin.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan kes bunuh.
“Hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan di lokasi kejadian jam 5.15 petang semalam bagi membantu siasatan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 6 Januari depan bagi membantu siasatan.
Menurut laporan, pemeriksaan forensik ke atas si mati dijalankan dan siasatan masih diteruskan secara menyeluruh membabitkan pelbagai sudut termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keterangan saksi, analisis forensik serta siasatan teknikal.
“Polis tidak menolak kemungkinan pembabitan individu lain dan siasatan masih berjalan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
“Polis juga menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di IPD Nilai atau balai polis berhampiran.
“Kami memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan tegas demi memastikan keadilan ditegakkan serta keselamatan awam terpelihara,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.