`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Friday, January 23, 2026

Kod Tatalaku Laut China Selatan dijangka dimuktamad Julai

Ketua setiausaha Kementerian Luar berkata, 25 perenggan dalam COC yang masih perlu diteliti sebelum proses akhir.

Laut China Selatan berpotensi jadi kawasan konflik sekiranya pertikaian tidak ditangani secara cermat dan berhemah, menurut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin. (Gambar EPA Images)
PUTRAJAYA:
 Rundingan berkaitan Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan dijangka dimuktamadkan pada Julai, menurut Kementerian Luar.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin berkata, terdapat 25 perenggan dalam CoC yang masih perlu diteliti sebelum melalui proses akhir.

“Orang ramai sering mengatakan Laut China Selatan antara ‘kawasan panas’, konflik dan seumpamanya. Namun, saya berpendapat, dalam konteks Asean, memandangkan Laut China Selatan adalah antara wilayah kita, kita lebih faham sifat serta situasi sebenarnya.

“Oleh sebab itu, kita amat berhati-hati untuk melabelkannya sebagai kawasan panas. Bagaimanapun, kita akui potensi Laut China Selatan untuk jadi kawasan konflik sekiranya ia tidak ditangani secara cermat dan berhemah.

“Justeru, pendekatan Malaysia dalam menguruskan isu Laut China Selatan dilihat sebagai sangat konstruktif, bukan sahaja oleh negara anggota Asean, malah oleh negara lain seperti China,” katanya pada Sesi Pertemuan Media Tertutup di Kementerian Luar hari ini, sempena Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri Asean di Cebu, Filipina, pada 28 dan 29 Jan ini.

Semalam Menteri Luar Mohamad Hasan memaklumkan, CoC yang akan dimuktamadkan itu bukan instrumen menyelesaikan pertindihan kawasan, sebaliknya kerangka bagi memastikan perairan itu kekal laluan perdagangan selamat, bebas dan aman untuk semua pihak.

Beliau berkata, pertindihan kawasan perlu diselesaikan melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala, manakala CoC berperanan menetapkan prinsip tatalaku dan langkah membina keyakinan bagi mengelakkan ketegangan di kawasan itu.

“Negara kita, Malaysia, merupakan ‘country coordinator’ bersama China. Kita berusaha dan telah menjalankan apa yang dikenali sebagai ‘Rapid Discussion Group’ serta Jawatankuasa ‘Joint Working Group on CoC.

“Jadi,saya yakin banyak terma dalam CoC telah mendapat persetujuan,” katanya dalam Dewan Rakyat semalam.

Kesinambungan agenda kepengerusian Asean

Sementara itu, Amran berkata, Kepengerusian Asean Filipina 2026, termasuk melalui pemukiman Menteri-Menteri Luar Asean, akan menjadi jambatan yang terus menyambung pencapaian Malaysia tahun lepas, sekali gus membuktikan perpaduan negara-negara anggota.

Katanya, empat keutamaan di bawah Komuniti Politik-Keselamatan Asean (APSC) yang dikenal pasti oleh Filipina dilihat sebagai kesinambungan semula jadi kepada hasil utama dan bidang tumpuan yang digerakkan Malaysia sepanjang menjadi pengerusi Asean tahun lepas.

“Malaysia akan terus menekankan kepentingan memperkukuh kepusatan, perpaduan dan kesepaduan Asean bagi memastikan pertubuhan serantau itu kekal memacu seni bina keselamatan rantau ini, di samping mengukuhkan asas dan kredibilitinya berlandaskan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama bawah Piagam Asean serta undang-undang antarabangsa.

“Malaysia juga komited memelihara Asean sebagai platform serantau yang berteraskan peraturan, bersifat terbuka dan dipercayai, selain bersedia menyokong Filipina dalam memajukan keutamaan ini melalui dialog yang diperkukuh, penyelarasan dasar dan kerjasama praktikal, termasuk bersama rakan dialog Asean,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.