Menteri Ekonomi Akmal Nasir berkata 40 dasar dan inisiatif baharu diperkenal selain lebih 80 akta dipinda sejak tiga tahun pentadbiran kerajaan Madani.

Menteri Ekonomi Akmal Nasir, berkata kerajaan kekal komited untuk melaksanakan reformasi secara menyeluruh dan berfasa, dengan matlamat utama untuk menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif dan mampan.
Katanya, lebih 50 projek berimpak tinggi dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
“Pelbagai reformasi yang dilaksanakan tersebut sehingga kini telah menunjukkan kejayaan secara makro dan juga menyumbang ke arah meningkatkan pendapatan isi rumah yang boleh dirasai oleh rakyat.
“Pendapatan purata bulanan isi rumah telah meningkat sebanyak 3.8% kepada RM9,155 pada 2024, berbanding RM8,479 pada
2022. Kadar kemiskinan mutlak juga telah berkurangan kepada 5.1% daripada 6.2% dalam tempoh yang sama,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Akmal berkata demikian menjawab Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu sejauh mana janji reformasi ekonomi kerajaan ditunaikan memandangkan pendapatan rakyat tidak meningkat seiring kenaikan kos hidup dan indikator sebenar kejayaan yang boleh dibuktikan.
Akmal ketika mengulas lanjut, berkata kejayaan reformasi ekonomi kerajaan diukur bukan sahaja melalui pertumbuhan kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Gabungan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, inflasi terkawal, dan pasaran buruh stabil serta peningkatan pendapatan dan pengurangan kemiskinan merupakan indikator membuktikan reformasi ekonomi mula menampakkan hasil.” - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.