`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, January 22, 2026

Zara Qairina ada ‘problem’ dengan ibu, nenek, kata saksi

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu Zara ada berkonflik dengan keduanya di sekolah.

zara qairina
Zara Qairina Mahathir disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 Bekas ketua warden, Azhari Abdul Sagap, berkata Zara Qairina Mahathir mempunyai konflik dengan ibu dan neneknya, merujuk tangkap layar perbualan dalam aplikasi WhatsApp.

Saksi kelapan itu dipanggil semula memberi keterangan, memaklumkan perkara itu ketika diminta oleh peguam, Shahlan Jufri, menjelaskan lebih lanjut berhubung salah satu dokumen didedahkannya dan ditandakan sebagai bahan eksibit.

Dalam inkues kematian Zara, Azhari menceritakan apa yang berlaku sebelum dan selepas perbualan WhatsApp antara seorang guru warden dan ibu kepada salah seorang pelajar yang didakwa dalam kes pelajar itu, selepas tangkap layar perbualan tersebut dikongsikan kepadanya.

“Cikgu Dayang Hazirah ada cerita pada perjumpaan pagi 17 Julai itu, dia beritahu ibu pelajar A pernah chat dia, beritahu Zara yang cantik itu ada ‘problem’ dengan ibu dan neneknya.

“Lepas itu, pelajar A beritahu pernah satu minggu emaknya datang, dia buat tidak tahu saja dengan mak dia. Berjam dia tunggu, emak dia tunggu di bawah. Dia (Zara) di atas memaki hamun mak dan nenek dia.

“Last-last, dia tidak tahan, mak dia naik dorm dan marah si Zara. Itu pada 12 Mac, masa itu awal lagi masih beberapa minggu mereka masuk (sekolah). Maksudnya ibu pelajar A ini tahu yang Zara memang ada konflik atau ‘problem’ dengan ibunya,” katanya menurut Sinar Harian di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Namun, Azhari memaklumkan tidak ingat tarikh tepat tangkap layar perbualan itu dikongsikan kepadanya, namun mengetahui mengenai perkara tersebut semasa satu mesyuarat diadakan di sekolah susulan kejadian menimpa Zara.

Dia kemudiannya diminta menjelaskan punca guru warden terbabit berkongsi tangkap layar perbualan tersebut dengannya.

“Sebab pada 17 hari bulan itu, ada gambar dalam diari ‘kenapa hidup saya begini’…’Kenapa hidup’, dia (ayat itu) menunjukkan Zara ada masalah dalam diari itu dan Cikgu Dayang Hazirah keluarkan cerita yang 12 Mac ada chat ibu pelajar A yang Zara ada konflik dengan ibunya,” katanya.

Dalam pada itu, Shahlan mendapatkan pengesahan daripada saksi bahawa mesyuarat yang diadakan pada 17 Julai 2025 bukan sahaja membincangkan kronologi kejadian melibatkan Zara, malah turut menyentuh dakwaan konflik remaja itu dengan ibunya serta kewujudan gambar keratan diari.

“Mengenai chat ini, sewaktu di sekolah sebelum saya ke balai untuk bawa pelajar. Itulah masa itu (mesyuarat) dan Cikgu Dayang Hazirah juga warden,” katanya.

Shahlan bersama pasukannya mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, dengan prosiding didengar Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.