
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata RPN sepatutnya dibangunkan sebagai satu pelan pendidikan komprehensif merangkumi pendidikan sekolah dan pengajian tinggi untuk memastikan kelancaran kesinambungan.
“Bukan dipecahkan kepada dua dokumen iaitu Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“PN berpandangan negara hanya perlu satu pelan pendidikan, tidak kira sama ada ditadbir satu atau dua kementerian.
“Dua pelan berasingan menimbulkan persoalan sama ada wujud penyatuan pemikiran sebenar ketika penyediaannya,” katanya dalam tulisannya di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.
Beliau turut membangkitkan beberapa persoalan asas antaranya matlamat bersama dua kementerian yang dilihat berbeza apabila KPM menggariskan tujuh teras strategik manakala KPT pula menetapkan 10 lonjakan.
Beliau juga mempersoalkan model graduan ingin dilahirkan melalui RPN, sambil menegaskan PN telah menetapkan Rasulullah SAW sebagai model insan seimbang yang ingin dibangunkan melalui sistem pendidikan negara.
Selain itu, Saifuddin menyuarakan kebimbangan mengenai kesinambungan pendidikan pelajar dari sekolah hingga ke universiti, serta tahap kesediaan kementerian dari segi infrastruktur, sumber manusia dan pembiayaan.
Berhubung Matriks Pembelajaran Malaysia iaitu peperiksaan untuk Tahun 4, beliau terkejut ia tidak dibincangkan dengan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkaitan Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia (JKPK) yang dipengerusikannya.
Mempersoalkan sama ada peperiksaan itu akan menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Saifuddin bimbang negara ini akan menjadi ‘Exam Nation’ (Sammy Wright), iaitu taasub peperiksaan.
“Kalau semasa UPSR, ada pelajar mengikuti tuisyen sejak Tahun 1, kini ia mungkin bermula sebelum prasekolah. Akibatnya, pelajar menderita sindrom the hurried child (David Elkind) kerana mereka dipaksa (pushed) melewati keupayaan tahap perkembangannya,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu lain seperti tahap persediaan KPM serta KPT selain penyelesaian masalah disiplin pelajar dengan merujuk kes kematian pelajar Tingkatan 1 di Sabah Zara Qairina Mahathir.
Saifuddin juga mengingatkan kepentingan Bahasa Melayu sebagai ‘bahasa jiwa bangsa’, selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Isnin lalu. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.