Ia juga petunjuk PN masih belum berjaya menawarkan platform yang benar-benar meyakinkan kepada parti bukan Melayu.

Meskipun mana-mana gabungan politik sememangnya mahu menarik lebih banyak penyertaan bagi mengukuhkan kedudukan, kenyataan Bendahari Iskandar Abdul Samad perlu dilihat dalam konteks politik yang sentiasa berubah.
“Pendirian MIC ketika ini jelas iaitu mereka masih mengutamakan BN. Dalam masa sama, PN juga memahami bahawa politik bersifat dinamik. Sebab itu mereka menyatakan MIC perlu diberi masa, kerana tidak mustahil pendirian boleh berubah,” kata Syaza Shukri dari Universiti islam Antarabangsa Malaysia.
“Bagaimanapun, saya tidak menjangkakan perkara tersebut (MIC ubah pendirian) akan berlaku dalam masa terdekat,” tambahnya.
Perbincangan mengenai kemungkinan MIC meninggalkan BN timbul sejak sekian lama, berlatarkan ketidakpuasan hati terhadap layanan didakwa tidak adil oleh Umno.
Terbaharu, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, mengumumkan partinya akan kekal bersama BN, susulan perubahan dalam kepimpinan PN yang menyaksikan PAS memegang kemudi pengerusi.
Saravanan menjelaskan, kepimpinan MIC perlu kembali semula kepada akar umbi dan menilai sentimen masyarakat India terhadap perkembangan itu.
Mengulas perkembangan itu, Iskandar berkata MIC memerlukan masa untuk mempertimbangkan wadah yang memberikan nilai tambah kepadanya.
Iskandar turut menyatakan persiapan PN, yang dianggotai parti berasaskan kaum India seperti Parti Rakyat India Malaysia, menghadapi PRU16 tidak terjejas.
Mazlan Ali menyatakan kenyataan Iskandar menunjukkan kematangan seseorang pemimpin yang memahami dinamik politik.
“Ia kenyataan yang pada saya agak objektif dan bijaksana,” kata penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia ini.
Mazlan menambah memberikan masa kepada MIC mungkin membayangkan nilai parti itu kepada PN, yang mahu menunjukkan gabungan itu bukan hanya membawa naratif Melayu semata-mata.
“Mereka nak tunjukkan PN juga adalah gabungan yang disokong oleh semua parti,” katanya.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata MIC sedar akan nilainya kepada PN.
“MIC tahu nilainya. Ia bukan sekadar pelengkap tetapi pintu masuk kepada legitimasi lebih luas, iaitu penerimaan bukan Melayu terhadap PN,” katanya.
Walaupun memberikan masa kepada MIC boleh ditafsir sebagai PN terdesak meraih sokongan komuniti India, Zaharudin berkata ia petunjuk bahawa gabungan itu masih belum berjaya menawarkan platform yang benar-benar meyakinkan kepada parti bukan Melayu.
“MIC kekal bersama BN bukan kerana nostalgia, tetapi kerana PN gagal menawarkan wadah yang meyakinkan dan nilai tambah,” katanya.
“PN cuba menormalisasi keadaan dengan retorik politik biasa berubah, namun hakikatnya jelas tanpa MIC, PN kekal sebagai blok eksklusif Melayu-Islam yang sukar menembusi kerusi campuran.” - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.