`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, March 31, 2026

Senarai hitam seumur hidup lebih praktikal tangani pemandu mabuk, kata pakar

 Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia Law Teik Hua berkata ia lebih lindung orang ramai berbanding hukuman mati.

kemalangan mabuk
Seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu lelaki bawah pengaruh alkohol dan dadah di Klang, kelmarin.
PETALING JAYA:
 Seorang pakar pengangkutan berkata cadangan menyenarai hitam pemandu mabuk daripada memandu seumur hidup disifatkan lebih wajar berbanding hukuman mati dalam menangani kes kemalangan maut.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua, berkata ia lebih praktikal kerana memberi tumpuan terus untuk melindungi orang ramai dengan menghalang pesalah berisiko tinggi kembali ke jalan raya.

“Bagi saya, kerajaan boleh mempertimbangkan larangan lesen seumur hidup khususnya bagi kes yang melibatkan kematian, tahap alkohol yang tinggi, penggunaan dadah, cubaan melarikan diri, atau kesalahan berulang, dengan mahkamah diberikan budi bicara untuk menilai setiap kes berdasarkan fakta,” katanya.

Semalam, dua wakil rakyat pembangkang mendesak kerajaan mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji pelaksanaan hukuman mati dan menyenaraikan hitam terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata ia bukan soal menghukum semata-mata, tetapi sebagai mesej jelas nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan dan sebarang tindakan membahayakan orang lain akan berdepan akibat paling berat.

Manakala, Ahli Parlimen Jerantut daripada PAS Khairil Nizam Khirudin pula menggesa kerajaan menyenarai hitam pemandu mabuk daripada memandu seumur hidup kerana percaya ia bukan sekadar melanggar undang-undang malah menjadi ancaman nyata kepada nyawa orang lain.

Kenyataan itu susulan kejadian seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu lelaki bawah pengaruh alkohol dan dadah di Klang.

Mengulas lanjut, Law berkata hukuman mati bukanlah penyelesaian paling sesuai dari sudut dasar undang-undang jenayah memandangkan kesalahan pemanduan mabuk lebih menjurus kepada kecuaian melampau, bukannya niat membunuh.

Beliau turut menegaskan hukuman sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan sudah pun berat, termasuk tempoh penjara yang panjang, denda tinggi dan penggantungan lesen.

“Isu utama adalah keberkesanan penguatkuasaan, kadar pendakwaan dan langkah pencegahan seperti sekatan jalan raya, ujian alkohol rawak serta pendidikan awam. Tanpa semua ini diperkukuh, hukuman lebih berat sekali pun tidak semestinya berkesan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan Fahami Ashrof Badaruddin menggesa kerajaan mengkaji semula Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya tindakan lebih tegas boleh dikenakan terhadap semua jenis kesalahan, bukan hanya melibatkan pemandu mabuk.

Beliau berkata antara cadangan itu termasuk pembatalan lesen pemandu mabuk, hukuman penjara lebih lama bagi kes yang menyebabkan kematian dengan hukuman mati sebagai salah satu opsyen serta denda yang lebih tinggi.

“Penekanan harus diberikan kepada kes kemalangan maut yang dilihat tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan, khususnya melibatkan pemandu mabuk,” katanya.

Bagaimanapun, aktivis jalan raya Shahrim Tamrin berkata beliau setuju dengan cadangan hukuman mati namun berpendapatan ia tidak seharusnya terhad kepada kes pemanduan mabuk sahaja.

Bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berkata hukuman paling berat itu perlu dikenakan secara menyeluruh terhadap semua kesalahan pemanduan melulu, termasuk melibatkan individu yang tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

“Jangan hanya fokus kepada DUI. Hukuman mati perlu dikenakan terhadap semua kesalahan pemanduan melulu termasuk mereka yang sedar, serta pemilik kenderaan yang membenarkan individu tanpa lesen atau bawah umur memandu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.