Adakah ketegasan Mohamad Hasan terhadap UNHCR dan tindakan meminggirkan Sanusi Nor sekadar strategi memikat pengundi Negeri Sembilan?

Mohamad Hasan selaku menteri luar negeri baru-baru ini memberi amaran keras kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian atau UNHCR.
Beliau mendakwa pejabat UNHCR di Malaysia seolah-olah menjadi daya tarikan yang membawa lebih ramai pelarian terutamanya etnik Rohingya untuk datang ke negara ini.
Mohamad maksudkan UNHCR keluarkan kad ‘status’ kepada pelarian untuk datang dengan mudah.
“Kita mahukan kerjasama dan saringan yang ketat. Jika mereka tidak mahu bekerjasama, pada pendapat saya, kita patut mempertimbangkan semula kehadiran UNHCR di negara ini supaya kita tidak terus terbeban,” kata beliau.
Ketegasan beliau ada wajarnya tetapi penutupan operasi UNHCR secara drastik boleh membawa cabaran baharu kepada negara. Tetapi bukan itu yang ingin saya bicarakan dalam penulisan ini.
Yang buat saya raise an eyebrow ialah apa yang dikata Mohamad kepada UNHCR dirumus oleh Malay Mail sebagai: “Cooperate refugees screening in Malaysia or face exit.” Ertinya ‘kerjasama atau angkat kaki’.
New Straits Times memetik beliau menyarankan “Malaysia should reconsider allowing UNHCR to maintain an office in the country if the agency continues to refuse to cooperate on refugee management.”
By his own admission, apa yang disuarakan Mohamad ialah pendapat peribadinya, bukan saranan, apatah lagi keputusan kerajaan.
Jujur saya terkejut. Sebab Mohamad selama ini menampilkan imej ‘lembut’ dan tidak mudah ‘naik angin’. Dalam politik, beliau dikatakan seorang yang ‘play safe’. Tak gemar ambil risiko.
Lalu saya bertanya bagaimana seorang yang sebegitu boleh ‘menyerang’ agensi yang merupakan cabang PBB. Bukan calang-calang pertubuhan itu.
Umum tahu Mohamad ialah timbalan presiden Umno dan di kalangan partinya dikenali dengan nama manja ‘Tok Mat’. Dan sekarang sedang sibuk berkempen untuk Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) (baca Umno-PAS) dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan. Beliau juga timbalan pengerusi BN.
Lalu saya bertanya lagi kepada diri sendiri mungkinkah kata-kata kerasnya terhadap UNHCR adalah untuk domestic consumption? Yakni untuk menunjukkan kepada pengundi di Negeri Sembilan khususnya beliau pemimpin berani menentang agensi PBB?
Berani bertindak demi keselamatan negara? Menyelamatkan Malaysia daripada ancaman pelarian? Dan juga mengambil kira sentimen anti-Rohingya yang sedang memanas dalam kalangan ramai orang Melayu dewasa ini?
Mohamad menyuarakan pendapatnya terhadap UNHCR kepada media semasa meninjau proses undi awal PRN Negeri Sembilan 28 Jul lalu.
Rasanya beliau ‘sekadar’ memberi respons kepada media yang bertanya mengenai tindakan pelarian Rohingya berkampung di pekarangan pejabat UNHCR di Kuala Lumpur setelah diusir penduduk tempatan di Kampung Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang.
Bercakap pula mengenai panglima perang PAS, Sanusi Nor. Pasukan peguam beliau diberitakan sedang menjalankan proses penyerahan surat tuntutan atau LOD iaitu Letter of Demand kepada pihak tertentu berhubung kenyataan beliau tempoh hari. Kenyataan ‘Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu ini saja’. Itu ringkasnya.
Sanusi mendakwa pihak yang diserahkan LOD telah ‘tokok tambah, putar belit dan ulas kenyataannya di luar konteks’. Sinar Harian memetik beliau berkata ‘ada ramai lagi dalam senarai menerima LOD seumpama ini dengan tuntutan yang sesuai mengikut tindakan mereka.’
Jelas Sanusi percaya beliau sudah ‘dianiaya’. Setuju atau tidak terpulang kepada interpretasi masing-masing. Malaysiakini ada menyiarkan transkripsi penuh ceramah beliau in question yang diucapkan 23 Jul lalu. Yang berminat silakan layari portal berkenaan.
Bagi saya selain mahu ‘memperbetulkan keadaan dan membersihkan namanya’ mungkin Sanusi rasa perlu bertindak kerana sedar apa yang dikatakannya memberi kesan negatif terhadap sokongan masyarakat bukan Melayu ke atas BN-PN pada PRN Negeri Sembilan ini.
Mustahil beliau tidak tahu ramai orang bukan Melayu yang tidak senang, malah marah akan apa yang telah diucapkan.
Pada pandangan saya Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Zahid Hamidi tahu akan kemarahan masyarakat bukan Melayu dan impaknya. Lalu cuba ‘menjauhi’ BN daripada Sanusi.
Dengan distancing BN, Zahid tidak mahu gabungan itu dikaitkan dengan apa yang boleh dilihat sebagai ucapan berbaur perkauman.
Kita tahu Zahid pantas ‘menasihati’ Sanusi supaya ‘sibukkan’ dirinya di Kedah sahaja (maklumlah Sanusi ialah MB Kedah). Dan “tak perlu datang Negeri Sembilan, biar kita manage Negeri Sembilan dengan cara kita sendiri”. Cukup terang maksudnya.
Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir pula mendakwa BN menolak politik perkauman dan persefahaman dengan PN tidak akan mengubah pendirian itu.
MIC mahu BN mengkaji semula kerjasama dengan PN, khususnya PAS sempena PRN Negeri Sembilan.
Presidennya SA Vigneswaran menggesa BN melihat kemungkinan bertanding solo kerana “jika BN terus dikaitkan dengan naratif (Sanusi) akan menyusahkan kita”. Permintaan beliau tidak akan tercapai.
Tetapi MCA mengambil langkah berlembut. Presidennya Wee Ka Siong berkata “public discourse must be fair and based on the full context of what was actually said (by Sanusi)”.
MCA memang mahu kerjasama BN-PN diteruskan. Apatah lagi ia mendapat keuntungan hasil kerjasama itu pada PRN Johor tempoh hari, meskipun Umno dan PAS tidak mengumumkannya secara terbuka.
Keuntungan di Johor ialah MCA menang lapan kerusi. But come to think of it MIC juga dapat untung apabila menang empat kerusi. Namun dalam konteks ucapan Sanusi di Negeri Sembilan, MIC nyata lebih berani bersuara.
Apa yang berlaku ialah BN (ketepikan MCA) meminggirkan atau isolate Sanusi. Pun begitu Sanusi masih boleh mengharapkan sokongan partinya.
Tentu kita masih ingat apa reaksi Ahmad Samsuri Mokhtar, naib presiden PAS yang dilantik pengerusi PN, terhadap nasihat Zahid kepada Sanusi yang disebut tadi.
Kata beliau Sanusi boleh datang ke Negeri Sembilan. Dalam lain perkataan suka hati Sanusilah nak datang ke tidak.
Dalam pada itu kata wartawan veteran Terrence Netto ucapan Sanusi menyusahkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) kerana Presidennya Hamzah Zainudin mahu partinya beraliran ‘centrist’ kerana the centre in Malaysian politics is where sanity and viability lie. Terpulang kepada masing-masing sama ada mahu percaya apa yang diidamkan Hamzah.
Saya melihat Wawasan yang sepatutnya memberi imej kepelbagaian kepada PN. Tetapi pada pendapat saya sejak awal lagi itu sesuatu yang sukar untuk parti berkenaan kerana Wawasan disifatkan terlalu dekat dan mirip PAS.
Berbalik kepada nasihat Zahid supaya Sanusi ‘balik Kedah’. Kata Shahril Hamdan co host Khairy Jamaluddin untuk audio siar Keluar Sekejap — tindakan Zahid menyarankan Sanusi tidak berkempen di Negeri Sembilan membuktikan BN enggan memberi komitmen penuh terhadap kerjasama dengan PN buat masa ini.
Zahid juga berkata jika PAS dan PN mahu berkawan dengan Umno, ada perkara tertentu seperti aspek kemajmukan kaum di negara ini tidak wajar dipermainkan.
Saya akhiri artikel ini dengan sedutan satu laporan Sinar Harian 29 Jul lalu:
“Apa nak dihairankan jikalau keluar daripada mulut Tuk Seri Muhammad Sanusi MB Kedah.
“Beliau memang koboi dalam hal ucapan. Tembak peluru tanpa kawalan. Tapi itulah Sanusi, gaya dan caranya memang begitu. Oleh sebab itu dia popular dalam PAS.” - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.