Pengarah komunikasi PH berkata perkara itu di bawah bidang kuasa SPR dan SKMM sedia bantu jalankan pengesahan dan forensik digital kandungan tular.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, berkata sebarang dakwaan yang timbul sepanjang tempoh pilihan raya berada di bawah bidang kuasa SPR.
Beliau yang juga menteri komunikasi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersedia membantu sebagai agensi teknikal, termasuk menjalankan pengesahan dan forensik digital terhadap kandungan yang dimuat naik atau disebarkan.
“SPR perlu menjalankan siasatan dalam tempoh pilihan raya dan agensi seperti SKMM sedia membantu sebagai agensi teknikal untuk membuat pengesahan atau menjalankan forensik digital terhadap kandungan yang dimuat naik ataupun disebarkan.
“Sebarang dakwaan yang dibangkitkan boleh dirujuk kepada pihak SPR,” katanya selepas program kempen bersama komuniti Felda Bukit Rotan Barat.
Terdahulu hari ini, Polis menafikan dakwaan kononnya anggota pasukan itu disogok dengan wang dan diarah menyerahkan nombor siri kertas undi bagi menyokong parti politik pada PRN Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang aktivis politik tersebut adalah satu tohmahan dan sehingga kini tiada laporan polis diterima berkait dakwaan itu, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap penyebaran maklumat palsu yang dijangka meningkat menjelang hari pengundian pada 1 Ogos ini.
Menurutnya, antara kandungan yang dijangka tular ialah video lama yang dikitar semula, maklumat yang dipetik di luar konteks dan mesej tidak tepat yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.
“Saya lihat terutama dalam dua atau tiga hari terakhir kempen akan ada trend penyebaran maklumat palsu, khususnya melalui WhatsApp.
“Banyak maklumat yang tidak tepat, cerita yang disampaikan hanya separuh jalan atau video lama yang dikitar semula.
“Saya minta semua pihak berhati-hati dan bersikap skeptikal terhadap sebarang maklumat yang diterima melalui WhatsApp. Semak dahulu dengan media arus perdana atau organisasi media rasmi sebelum mempercayai atau menyebarkannya,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.