`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Tuesday, July 28, 2026

Dunia Melayu di luar Sanusi

 Sanusi Nor dan Nga Kor Ming jika bersepakat, saya yakin akan mencetuskan 'chemistry' luar biasa dalam memacu Malaysia ke arah yang lebih baik.

ronasina

Baru-baru ini saya mendengar ucapan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang mengatakan orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu, sedangkan orang Cina mempunyai China dan orang India mempunyai India. Saya faham maksud yang ingin beliau sampaikan. Ia boleh diambil secara negatif dan boleh juga dilihat dari sudut positif meskipun nampak seakan Sanusi melihat dunia Melayu dari sudut yang sempit. Namun, ucapan itu tidaklah mengganggu benak saya. Saya ingin menceritakan pengembaraan saya ke dunia Melayu lain di Kepulauan Riau, Indonesia ketika Johor sedang sibuk hendak berpilihan raya beberapa minggu lalu.

Dari pengkalan Stulang, Johor saya bersama isteri dan seorang lagi kawan menaiki feri menuju ke Pulau Bintan. Sebut Stulang, saya teringat lagu Tanjung Puteri, ada bait menyebut ‘singgah Stulang membeli kopi…’ dan ‘istana hinggap di Kuala Danga…’. Saya ketawa sendiri apabila teringatkan Kuala Danga atau Teluk Danga yang disebut dalam lagu tersebut kini lebih popular dipanggil Danga Bay. Bunyinya sudah berbau asing.

Kurang tiga jam belayar, feri kami pun sampai ke pelabuhan Tanjung Pinang, Pulau Bintan setelah melepasi pulau Singapura, Batam dan pulau-pulau kecil lain. Saya teringat watak Laksamana Bentan dalam filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961). Sewaktu kecil saya tak pernah bertanya di mana letaknya Pulau Bintan. Saya tak tahu ia sebenarnya memang wujud. Dengan rasa berdebar, kini saya sampai ke tempat tersebut setelah usia menginjak setengah abad. Alangkah terlambatnya saya.

Semalaman di Tanjung Pinang sempat saya menziarahi makam Daeng Marewah, Daeng Celak dan Panglima Hitam Lancang Kuning. Saya menyanyi pula lagu ‘Lancang Kuning’ nyanyian Eddy Silitonga yang kemudian dipopularkan semula oleh Jamal Abdillah. “Kalau nakhoda kuranglah faham, alamatlah kapal akan tenggelam”. Sinis betul seni kata lagu tersebut. Kalau pemimpin tak hebat, kita bukan sahaja tak sampai ke tujuan malah negara pasti akan lingkup.

Berbaki beberapa jam sebelum bertolak ke Pulau Singkep, kami mencuri masa menaiki bot pancung ke Pulau Penyengat yang bersetentang dengan jeti Tanjung Pinang. Di Pulau Penyengat kami ziarah pula makam Raja Ali Haji. Tokoh-tokoh ini mempunyai kisah yang panjang. Cukuplah saya katakan mereka ialah antara nama besar dalam peradaban Melayu. Malah kepada yang tak tahu, Raja Ali Haji adalah orang pertama mencipta kamus Bahasa Melayu. Beliau juga mengarang Gurindam 12 yang memberikan pesanan kepada kita sebagai pedoman hidup.

Di Pulau Bintan dan Pulau Penyengat ini bahasa yang dituturkan sama seperti kita bertutur di Malaysia. Tak usah susah-payah kita nak laras lidah bercakap telor Indonesia, buat janggal saja jadinya. Cakap sahaja seperti kita bertutur seharian dengan kawan-kawan kita.

Petangnya kami menaiki pesawat kecil Cessna 208 milik Susi Air menuju ke Dabo, Pulau Singkep. Pesawat yang hanya memuatkan 10 orang termasuk dua juruterbang itu mengambil masa 45 minit sahaja berbanding empat atau lima jam menaiki feri. Kerana pesawat ini kecil, 45 minit terasa menyeksakan kerana gayat apatah lagi bila pesawat melanggar awan, gegarannya cukup menyeramkan. Tapi, itulah pengalaman yang perlu dirasa.

Pun sama, berada di Dabo saya tak berasa asing. Di kedai kopi, saya masih mendengar bahasa yang begitu dekat di telinga. Perkataan seperti ‘gitu agaknya’, ‘anu’, ‘ek?’ yang selalu kita dengar di sini, ada di sana. Di warung, saya masih menikmati lauk-pauk yang tidak jauh bezanya dengan makanan di kampung kita. Ada laksa, ada lempeng sagu, asam pedas dan ada nasi lemak. Sama!

Luas rupanya dunia Melayu sebab seingat saya orang Indonesia atau Jawa pun tak berapa tahu dunia Melayu walaupun Melayu ada dalam Indonesia. Sewaktu tinggal di Jakarta dulu, bila kami hidangkan nasi lemak, rakan di sana menyatakan bahawa nasi lemak sama dengan nasi uduk resipi tradisional mereka tapi ternyata tidak. Indonesia terlalu besar sehingga tidak semua wilayah saling mengenali budaya masing-masing. Dan jika mereka kenallah orang Melayu di Kepulauan Riau, tak timbul pertikaian nasi lemak adalah nasi uduk itu. Penjajahan telah memisahkan kita lalu mereka seperti Sanusi, menyangka Melayu itu hanya di Semenanjung Malaysia sahaja.

Di pekan Dabo, saya melihat warung kopinya terdiri daripada orang Melayu dan Cina yang bercampur-gaul. Di medan selera juga tiada masalah, Melayu-Cina tak terpisah. Gerai-gerai mereka bersekali. Di suatu sudut saya melihat mak cik-mak cik Melayu dan Cina bersembang mesra. Saya terfikir, sebenarnya orang Melayu dan Cina ini ada ‘chemistry’ tersendiri jika keduanya mampu bekerjasama dengan baik. Ya, Indonesia ada sejarahnya bagaimana semua kaum telah disatukan dengan semangat bangsa Indonesia tetapi semangat muhibah Melayu dan Cina sebenarnya dah lama terpupuk di Malaysia. Di Kelantan, Terengganu atau Kedah malah di Sabah dan Sarawak, perpaduan lebih baik.

Dari Dabo, kami menaiki feri ke Pulau Lingga, pulau yang sangat saya rindukan sejak remaja. Saya mahu melihat dengan mata kepala sendiri puncak Gunung Daik yang bercabang tiga seperti diceritakan dalam pantun Melayu. Tidak memadai hanya melihat foto dan video sahaja. Ia sangat peribadi, seperti merindukan seorang kekasih. Akhirnya, selepas belayar selama setengah jam tertunailah impian itu. Dari jetinya sahaja, Gunung Daik sudah terlihat seperti menyambut kedatangan saya. Benar, saya boleh cerita kepada kaum-kerabat bahawa Gunung Daik memang bercabang tiga. Tepat seperti yang dikatakan di dalam pantun lama itu.

Dua hari di pekan Daik, kami menyewa motosikal untuk merayau dan berkeliling Pulau Lingga, meninjau kehidupan orang Melayu di luar tanah Semenanjung. Ketika di Malaysia sedang musim durian, di Daik pun galak sama. Pokok durian, rambutan dan petai melayut di dahan. Kami berasa seolah berada di kampung sendiri. Keghairahan orang di sana apabila melihat orang Melayu Malaysia seperti kita datang memang lain macam, jelas lebih ramah dan gembira. Mereka juga berasa seperti bersua dengan keluarga sendiri agaknya.

Di warung, pasar malam dan kafe saya mendengar lagu-lagu Melayu diputarkan. Lagu-lagu dari Malaysia juga turut dimainkan. Saya mengandaikan, dahulu kita semua ibarat tinggal berjiran dalam satu kampung. Kita bermain, makan-minum dan tidur bersama. Apabila datangnya penjajahan, kita kemudiannya terpisah. Rumah-rumah kita sudah berpagar dan bersempadan. Kita hanya mampu memandang saudara kita di sebelah sana melalui pagar sahaja. Mereka juga begitu. Di rumah masing-masing, kita memakai corak pakaian yang sama, memasak gulai yang sama dan menyanyi lagu yang sama. Lama-kelamaan kita makin terasa jauh dan anak cucu kita sudah tak mengenali antara satu sama lain lagi kerana celik sahaja mata mereka melihat ada pagar yang menyekat mereka. Mereka tidak faham yang dahulunya kita semua bebas ke sana-ke mari. Mereka tak faham mengapa boleh terjadi persamaan dari segi tutur kata, pakaian, makanan dan budaya kerana pagar-pagar itu juga telah mengurung pemahaman mereka. Itulah gambarannya.

Seminggu tenang dan aman melayani kehidupan harian masyarakat di dunia Melayu Kepulauan Riau menginsafkan saya bahawa kita pun sebenarnya tak jauh bezanya dengan mereka dari segi hidup harmoni. Di gelanggang politik, kita selalu ditakut-takutkan dan dipisah-pisahkan walhal di pasar ikan, kita masih lagi aman berurus niaga. Kita masing-masing ada urusan yang lebih penting untuk diselesaikan setiap hari daripada sibuk mencari permusuhan. Tidak ada antara kita mahukan kekacauan yang sudah pasti akan merugikan semua pihak. Elakkanlah terpedaya dengan permainan jahat ini.

Seminggu di dunia Melayu yang lain, melegakan sekejap otak saya yang semak dengan kempen pilihan raya. Saya sudah jemu dengan provokasi politik yang sentiasa menyiram minyak supaya api perkauman marak. Berubahlah wahai politikus – demi Malaysia! Janganlah kerana berebut kuasa, keharmonian diperjudikan. Sanusi dan Nga Kor Ming jika bersepakat, saya yakin akan mencetuskan ‘chemistry’ luar biasa dalam memacu Malaysia ke arah yang lebih baik. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.