`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Wednesday, July 29, 2026

Derhaka kepada Yamtuan Besar

 Dalam konteks Adat Perpatih, wacana mengenai derhaka mempunyai nuansa yang sama sekali berbeza. Ini kerana secara tradisinya, Adat Perpatih ditunjangi atas asas muafakat, perbincangan, dan pembahagian kuasa, bukannya atas ketaatan mutlak kepada seorang raja.

faisal tehrani

Dalam konteks Adat Temenggung, derhaka terhadap raja atau pemerintah di Johor misalnya, sangat bergantung kepada kerangka mencabar kekuasaan raja. Konsep derhaka ini bermula dalam tradisi Melayu seawal Prasasti Telaga Batu (683 M) yang dikeluarkan oleh Raja Sri Jayanasa dari Sriwijaya.

Prasasti itu mengandungi sumpahan dan kutukan terhadap sesiapa yang mengkhianati atau mencabar kekuasaan raja. Ancaman tersebut ditujukan kepada seluruh lapisan pentadbiran dan masyarakat, daripada putera raja, menteri, panglima, hakim, pedagang, askar hingga hamba raja. Dalam konteks Sriwijaya ini, konsep derhaka berfungsi sebagai alat politik untuk mempertahankan kerajaan yang masih baharu dan mengawal kestabilan negara.

Hari ini ada ahli akademik melihat sumpahan itu bukan sebagai bukti kezaliman Sri Jayanasa tetapi sebagai sumpah jawatan dan satu bentuk mekanisme pentadbiran. Selepas kedatangan Islam, konsep derhaka diteruskan dan digandingkan dengan konsep daulat, yang mengabsahkan kewibawaan raja memerintah. Dalam hal ini kata derhaka, atau menderhaka dalam kerajaan Melayu Islam merangkumi perbuatan seperti mengingkari titah raja, melakukan pemberontakan, memalsukan cap mohor diraja atau menggugat keamanan negeri.

Walaupun tradisi Melayu menuntut kesetiaan kepada raja, kontrak sosial Sang Sapurba-Demang Lebar Daun menunjukkan bahawa apabila pemerintah menjadi zalim, menindas dan mencabuli hak rakyat, rakyat berhak bertindak untuk memulihkan keadilan. Semua ini telah saya ulas dalam satu rencana saya di sini lapan tahun lalu, berjudul ‘Derhaka Kepada Raja, Dulu dan Kini’.

Dalam sistem demokrasi moden hari ini yang mana institusi raja adalah raja berperlembagaan, konsep derhaka tradisional semakin tidak relevan kerana kedaulatan dipindahkan daripada raja kepada rakyat melalui undang-undang dan pilihan raya.

Dalam konteks Adat Perpatih, wacana mengenai derhaka ini mempunyai nuansa yang sama sekali berbeza. Ini kerana secara tradisinya, Adat Perpatih itu sendiri ditunjangi atas asas muafakat, perbincangan, dan pembahagian kuasa, bukannya atas ketaatan mutlak kepada seorang raja. Malah raja dalam Adat Perpatih, Yang di-Pertuan Besar atau Yamtuan Besar itu dipilih oleh Undang Yang Empat. Ini bermakna legitimasi baginda datang daripada adat dan persetujuan para pembesar, bukan semata-mata keturunan atau daulat.

Peranan Raja dalam Adat Perpatih adalah berkeadilan. Ini terserlah dalam terombo seperti yang dirakam oleh Mohd Rosli Saludin dalam ‘Sri Menanti: Tanah Beradat Bermula di Sini’, di mana ia disebut begini:

Aturan Sungai Ujong berundang, berkeadilan,
Berteromba dan bersalasilah
Aturan Jelebu berundang, berkeadilan dan berlembaga
Aturan Rembau berundang dan berlembaga
Aturan Johol berundang, berteromba dan bersalasilah
Pesaka Undang berkelantasan
Pesaka Lembaga bersekat
Tali pengikat daripada Lembaga
Keris penyalang daripada Undang
Pedang pemancung daripada keadilan
Titah raja kita jujung sepenuh-penuh kepala
Sabda undang kita pikul seuntuk-untuk bahu.

Menurut Rosli, pakar terombo, saya petik kata-kata beliau dari buku di atas; “pepatah-petitih di atas menceritakan tentang batasan-batasan yang dimiliki oleh Dato’ Undang yang Empat dan peranannya. Di samping itu ditampilkan akan peranan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai pemayung keadilan yang tidak boleh dipertikaikan Lagi. Titah raja kita patuh dan segala sabda Undang kita turutkan.”

Sudah tentu dalam hal ini, Undang dan Yamtuan Besar yang dinyatakan adalah mereka yang sah dari segi adat dan undang-undang, yang telah melalui proses semenggah. Bukan yang dilanggar dan diserembonoi.

Dalam hal inilah Rosli menekankan soal ingkar atau derhaka dalam konteks Adat Perpatih, di mana ada terombo lain dipetik oleh beliau:

Muka pedang belakang pedang
Pedang berhulu gading gajah
Esa hilang dua terbilang
Pantang kita berpaling tadah
Matahari sudah celik
Bulan sudah terang
Bintang sudah bercahaya
Jangan beralih, jangan berubah
Jikalau berubah padi sambang
Beranak tidak berpeha
Ditimpa nika dengan pesaka.

Lihat kata ‘berpaling tadah’ yang digunakan di sini. Menurut Rosli lagi, saya kutip dari bukunya, “Maksudnya sudah ada suatu persumpahan untuk kita taat kepada Raja dan janganlah kita berpaling tadah. Semuanya ini termaktub dalam Rukun Negara kita yang harus dijadikan sebagai pakaian diri segala rakyat jelata. Jika kita tidak taat akan merosakkan perpaduan negara dan dikhuatiri banyak perkara buruk akan berlaku.”

Dalam memanjangkan peranan Raja sebagai ‘berkeadilan’, Rosli seterusnya mengupas yang raja harus dipertahankan selagi baginda itu menjalankan fungsinya dan tidak boleh dilengser tanpa sebab musabab munasabah:

Bertuah raja kerana adilnya
Bertuah undang kerana benarnya
Bertuah penghulu kerana maruahnya
Bertuah lembaga kerana sifatnya
Bertuah buapak kerana beringat
Bertuah rakyat kerana taatnya
Elok hukum kerana adil
Elok adat kerana syarak
Elok raja kerana benar
Elok undang kerana lurus
Elok penghulu kerana niat
Elok lembaga kerana lillahi
Elok buapak kerana kerja menjadi.

Rosli, anak jati Negeri Sembilan dan pengamal Adat Perpatih dalam buku beliau itu menghujahkan dari terombo ini yang, “maksudnya kita bertuah mempunyai raja yang serba adil dan beruntung juga mempunyai pemimpin yang lain seperti undang, penghulu, lembaga dan buapak, ada dua dewan iaitu dewan undangan negeri dan dewan keadilan dan undang, semuanya ini menjadikan Negeri Sembilan, cemerlang, gemilang dan terbilang.”

Dalam hal inilah kita melihat derhaka dalam konteks di Negeri Sembilan ialah pelanggaran terhadap muafakat dan adat. Jelaslah seseorang ditanggapi sedang melakukan kesalahan apabila mengingkari keputusan bersama, memecahkan perpaduan suku atau melanggar peraturan adat. Ini kerana fokus dalam masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan ialah untuk menjaga kestabilan dalam masyarakat. Justeru mereka yang menggugat kestabilan sedia ada akan dianggap sebagai pemecah belah, pelanggar adat, dan mereka yang meletakkan negeri dalam keadaan sulit.

Ia tidak sama seperti di Johor, katakan, yang mana berada di luar Adat Perpatih dan konsep kuasa dan ingkar itu lebih terpusat. Istimewanya, Adat Perpatih menawarkan satu konsep yang lebih hampir kepada konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, berbanding monarki mutlak.

Dengan merujuk terombo misalnya kita akan mendapati mereka yang menderhaka adalah puak yang mencabar adat, menyeret Raja Berkeadilan dengan fitnah dan membuat puak-puak sehingga terjejas kestabilan dan keseimbangan masyarakat.

Kempen sengit parti politik dalam PRN ini menyaksikan imej Yamtuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diperkotak-katikkan dan dikaitkan dengan politik kepartian sehingga mendorong Istana Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan media. Akan ada banyak tanda tanda di kepala kita bagaimana blok Barisan Nasional dan Perikatan Nasional akan mentadbir Negeri Sembilan dengan licin sekiranya mereka berkuasa. Ini kerana didakwa ada dalam kalangan calon dari blok ini berada dalam kumpulan yang ingin menjatuhkan Yamtuan Besar seorang Raja Berkeadilan, sah dari segi undang-undang dan terombo perbilangan.

Dalam terombo, ada diberi petunjuk mengenai lapis pentadbir dan pemerintah negeri dalam kalangan rakyat yang licin bekerjasama dengan Yamtuan Besar. Ia diperikan dalam terombo, berbunyi begini:

Musuh mana akan datang
Mana tebing akan runtuh
Atau kubu yang akan dijuang
Atau ubat akan dijemur
Mana senapang akan diampai
Mana jamban dikencah dagang
Atau parit sudah ditembus
Atau aur kurang bela
Angkatan mana yang akan tiba.

- FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.