`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

31 AUGUST 2026

Monday, August 31, 2026

Muhyiddin sambut baik ikhtiar kerajaan ringan beban rakyat

 Bekas PM turut cadang kerajaan kaji semula dasar percukaian, rasionalisasi subsidi yang dilihat beri kesan langsung kepada rakyat.

MUHYIDDIN YASSIN
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, penting untuk kementerian, agensi kerajaan berkaitan salur peruntukan dengan kadar segera, pastikan setiap bantuan sampai kepada yang layak.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai beberapa langkah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu sektor perniagaan dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata, pengembalian had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan serta peningkatan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun dijangka dapat membantu rakyat dan perniagaan yang berdepan peningkatan kos.

“Susulan pengumuman langkah-langkah ini, adalah penting untuk kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan menyalurkan peruntukan dengan kadar segera dan memastikan setiap bantuan sampai kepada individu serta perniagaan yang layak.

“Saya berharap langkah-langkah yang diumumkan ini disusuli dengan langkah-langkah lain yang lebih komprehensif untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi Belanjawan 2027,” kata presiden Bersatu itu dalam hantaran Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, langkah lain termasuk tambahan RM500 juta bagi penyelenggaraan sekolah, pendigitalan perkhidmatan kesihatan dan akses kepada langganan perisian kecerdasan buatan (AI) untuk belia diharap dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam bidang pendidikan, kesihatan serta ekonomi digital.

Selain itu, katanya, penambahan kemudahan mikro kredit sebanyak RM1 bilion untuk peniaga kecil dan geran RM200 juta bagi membantu penjaja kecil, peniaga pasar malam serta wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah juga mampu merancakkan perniagaan khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Muhyiddin turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula dasar mengenai percukaian dan rasionalisasi subsidi yang dilihat memberikan kesan langsung kepada beban yang ditanggung oleh rakyat ketika ini.

Ahad lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat merangkumi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, AI, pendigitalan kesihatan, e-Invois dan pembiayaan mikro yang berkuat kuasa esok.

Beliau berkata, kesemua ikhtiar itu ialah langkah kerajaan menangani kebimbangan rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup dan tekanan kehidupan seharian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.