Penganalisis berkata, alternatif ganti BN untuk tarik sokongan Melayu tidak banyak dan tidak setandingnya.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, PH sedar ia masih memerlukan Umno kerana parti itu mempunyai keupayaan menarik pengundi Melayu yang ketika ini sukar ditembusinya.
Katanya, cadangan Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil supaya PH memperluas ‘khemah besar’ boleh dilihat sebagai isyarat kepada Umno bahawa gabungan itu mempunyai pilihan lain.
Namun, katanya, alternatif yang ada tidak banyak, dengan Bersatu antara parti yang berpotensi membantu PH meraih sebahagian sokongan Melayu tetapi kekuatannya masih belum setanding Umno dan BN.
Bersatu kini berdepan krisis dalam Perikatan Nasional (PN) selepas hubungan politiknya dengan PAS putus pada Jun lepas.
“Alternatif itu amat terhad kerana pada ketika ini Bersatu boleh sedikit sebanyak meraih sokongan pengundi Melayu, tetapi tidaklah sehebat Umno dan BN.
“Prestasi Bersatu di Johor dan Negeri Sembilan juga menunjukkan pengaruh parti itu dalam menarik pengundi Melayu masih terhad,” katanya kepada FMT.
Faiz sebelum ini berkata, PH perlu memperluas konsep ‘khemah besar’ dengan mencari rakan politik baharu sekiranya berlaku perubahan dalam hubungan politik antara Umno dan PN.
BN dan PH bersama beberapa parti lain membentuk kerajaan perpaduan susulan keputusan Parlimen tergantung pada PRU15 manakala PN bertindak sebagai pembangkang.
Kedua-dua gabungan itu turut bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan serta PRK selepas itu.
Bagaimanapun, pada PRN Johor 11 Julai lalu, BN bergerak solo dan mempunyai persefahaman dengan PN pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos, menentang PH.
Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata, cadangan memperluas ‘khemah besar’ juga menimbulkan persoalan mengenai parti mana yang benar-benar mampu menambah kekuatan PH.
Menurutnya, kerjasama dengan parti kecil seperti Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) belum tentu cukup menjadikan PH lebih kompetitif.
“Membawa Bersatu pula mungkin menimbulkan tentangan dalam kalangan penyokong gabungan itu,” katanya.
Bagaimanapun, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berpandangan, PH masih mempunyai ruang memperluas kerjasama dengan parti Melayu lain bagi menambah sokongan dalam kalangan pengundi Melayu.
Katanya, PH tidak semestinya hanya bergantung pada Umno dan boleh mempertimbangkan kerjasama dengan Bersatu, Putra atau Berjasa.
“Kerjasama seperti itu tidak semestinya menyebabkan PH kehilangan identiti kerana gabungan berkenaan pernah bersama Bersatu pada PRU14 sebelum membentuk kerajaan persekutuan pada 2018,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.