`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Tuesday, October 6, 2026

Filem gagal, salahkan penonton

 Kalau kita mahu buat filem yang tidak mengikut selera semasa, kita juga perlu sedia terima kemungkinan selera semasa memang jarang menyebelahi filem seperti itu.

ronasina

Baru-baru ini terjadi perbualan panjang di medsos dalam kalangan penggiat filem, peminat dan penonton apabila filem Terbang arahan Chiu Keng Guan, pengarah yang pernah menghasilkan filem OlaBola dan The Journey itu gagal mencapai kutipan yang memberangsangkan. Selepas seminggu ditayangkan, Terbang dilaporkan hanya mengutip sekitar RM1.2 juta, angka yang agak kecil bagi sebuah produksi menelan belanja sekitar RM10 juta. Filem diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali Malaysia, Karamjit Singh dan pasukan PERT itu mula ditayangkan pada 17 Sept 2026. Barisan pelakonnya bukan calang-calang. Ada Irfan Zaini, Jack Tan, Nam Ron, Zizan Razak dan Shweta Sekhon. Kegagalan ini menimbulkan tanda tanya apakah filem biopik tempatan tak berapa diminati oleh penonton kita? Di sinilah gaduh-gaduh berlaku terutama di Threads. Saya meneliti hujah demi hujah.

Saya tidak berkesempatan menonton filem Terbang. Ramai penonton yang telah menontonnya memuji dan mengiktiraf ia sebagai sebuah filem yang baik. Soalnya, mengapa sebuah filem yang dipuji baik tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan? Perkara begini bukan pertama kali berlaku. Macam selalu, setiap kali sebuah filem yang dikatakan bagus itu gagal, akan timbul kenyataan yang sama baik daripada penggiat filem, begitu jugalah khalayak – salah penonton! Penonton kita dikatakan tak cukup bijak menilai filem, lebih menggemari filem ringan dan kosong seperti filem…ah! Tak usahlah kita beri contoh. Tapi kita boleh nampak. Memang ada filem tempatan yang meletup berpuluh juta dan kita tahu filem jenis apakah itu.

Penonton dipersoalkan mengapa mereka tidak mahu tonton filem seperti Terbang sedangkan filem ‘yang sana itu’ boleh pula laku? Tak pasal-pasal penonton kena jawab di medsos. Macamlah mereka sudah buat salah besar, padahal mereka cuma tidak membeli tiket untuk menonton. Kritikan itu ada asasnya tapi kalau asyik penonton sahaja yang dipersalahkan, menyampah pula dibuatnya. Sebuah filem yang bagus dengan sebuah filem yang orang mahu tonton itu tidak sama. Sebuah filem boleh dibikin dengan bagus tetapi semua itu belum tentu akan membuat seseorang rasa terdorong untuk pergi menontonnya. Bagus itu pun subjektif sifatnya.

Ada banyak faktor memungkinkan orang tak masuk panggung. Mungkin genrenya, barisan pelakonnya, atau strategi promosinya gagal memukau. Boleh jadi juga waktu tayangannya tidak kena. Ia bertembung dengan pilihan-pilihan lain yang lebih disukai. Tapi, satu hal misteri yang saya rasa wujud.

Saya pernah bertanya kepada S Amin Shahab, seorang seniman terkenal kenapa belum pergi menonton filem ‘anu’ itu? Ketika itu ada sebuah filem biopik politik tanah air juga. Jawab beliau, ‘tak ada seru nak pergi tengok.’ Itulah maksud saya tadi. Produk nampak macam dah sedap tapi entah kenapa, tak membuat kita terpanggil. Bab ‘seru’ inilah bagi saya misterinya.

Saya teringat juga petikan kata-kata pengarah U-Wei Shaari: “Kita boleh buat filem yang cerdik kalau ada audiens yang cerdik,” (‘Hanyut Akhirnya Sangkut’ oleh Israr Khalid, Astro Awani, 13 Okt 2016).

Saya faham maksud pengarah yang sangat saya kagumi itu. Sesetengah karya memang untuk penonton yang mahu berfikir, mempunyai pengetahuan sedia ada yang tinggi dan sanggup menyingkap mesej tersirat di sebalik kisah yang diperlihatkan di layar. Tetapi izinkan saya untuk ‘ganggu’ sedikit ungkapan itu. Apakah masalah ‘filem cerdik melingkup’ ini akan selesai jika penonton sudah jadi cerdik? Katakanlah masih berlaku filem gagal, siapa pula yang hendak kita salahkan?

Kecerdikan seseorang tidak juga menjadikan dia menyukai filem yang dilabelkan sebagai cerdik. Seorang pensyarah (cerdik, kan?) misalnya, selepas memberi kuliah di universiti, dia balik ke rumah dan mungkin memilih untuk menonton cerita hantu di Netflix. ‘Mat sastera’ yang membaca novel Fyodor Dostoevsky mungkin mempunyai selera yang baik dalam memilih filem tetapi ada ketikanya dia cuma mahu menghibur hati dengan menonton komedi mengarut seperti The Naked Gun. Saya pun setelah penat sepanjang hari bertekak soal idealisme dan falsafah, memilih filem komedi ‘deadpan’ lakonan Jason Bateman. Lega sikit rasanya.

Ia tentang selera. Ada banyak benda yang bagus tetapi ia tidak semestinya dapat menepati selera semua orang. Selera bagi saya, bukan ujian IQ. Bukan apa, kita kena berlaku adil juga kepada penonton. Filem-filem ‘cerdik’ pernah sahaja laku dan mendapat kutipan tinggi pada zamannya seperti ‘Fenomena’, ‘Selubung’ atau ‘Perempuan, Isteri dan…’

Apabila ramai penonton memenuhi pawagam untuk filem yang kita anggap bagus, kita gembira mengatakan masyarakat sudah pandai menghargai karya bermutu tetapi apabila mereka memenuhi pawagam untuk filem yang kita nampak lekeh, kita memperlekehkan pula selera mereka.

Tak adil jugalah kalau asyik penonton saja yang kena sekolah. Contoh mudahnya begini, suatu hari ketika kita sedang duduk makan dan berbual dengan kawan-kawan di sebuah restoran, datang seorang peniaga membawa keropok dari meja ke meja. Dia berhenti di meja kita dan menawarkan keropoknya. Kalau kita suka, kita beli. Kalau tidak mahu, kita geleng kepala dan dia bergerak ke meja lain. Kita tidak perlu membeli semata-mata kerana takut dia berkecil hati. Kalau kita hendak beli pun sebab kita memang suka keropok itu dan harganya berbaloi. Mungkin juga kita tidak suka sangat tetapi kerana kita ada duit lebih dan berkemampuan, kita beli. Orang yang bersifat budiman memang ada. Ia tidak salah.

Tetapi barang diingat, itu simpati, bukan selera. Katakanlah kita enggan membeli, tak patutlah peniaga tadi marah kita kerana tak mahu menyokong usahawan tempatan seperti dia, kan? Keropok dia jual, duit kita punya. Kalau setuju, ia akan bertukar tangan dengan rela.

Begitulah juga dengan filem. Kita beli tiket kerana tertarik dengan ceritanya dan segala elemen yang dipertaruhkan di dalamnya. Kita juga boleh membeli dengan niat mahu menyokong industri filem tempatan. Malah kalau mahu membeli kerana simpati pun tidak salah. Tetapi akhirnya ia adalah tentang pilihan. Sebab itu saya rasa tidak patut jugalah kita memaksa penonton memikul tanggungjawab moral untuk menyokong filem tempatan. Seolah-olah begini: penerbit filem sudah berhabis duit. Pengarah dan pelakon sudah bekerja keras. Kru bersengkang mata dari mula sampai tamat produksi. Lalu, menjadi tanggungjawab masyarakat kitalah untuk menyokong kerja keras para karyawan ini. Patutkah?

Ya, tetapi kita semua adalah ‘karyawan’ (bermaksud pekerja dalam Bahasa Indonesia) yang bekerja keras juga. Peniaga keropok tadi pun bekerja keras. Pelukis, kerani, pemandu Grab semuanya bekerja keras. Mereka pun pergi tonton wayang jika ada kemampuan. Tetapi kena fahamlah, menonton wayang hari ini bukan sekadar beli tiket. Kalau pergi berkeluarga, kena kira kos makan, minum, petrol dan parkir. Bukan kecil punya modal. Jadi, penonton berhak berkira-kira produk hiburan mana yang mahu dibelinya. Kalau kena tepat dengan selera mereka, pasti mereka tak teragak-agak berbelanja.

Jangan pula salah faham. Ini tidak bermaksud pembikin filem mesti menurut sahaja selera pasaran. Kalau filem hantu laku, letihlah kita kalau semua nak buat filem hantu. Kalau filem aksi laku, tak payahlah semua nak buat babak kejar-mengejar di atas bumbung deretan kedai atau semuanya nak buat adegan kereta meletup. Menyampah pula kita menengoknya nanti. Karya yang mencabar selera semasa perlu dibuat. Filem eksperimental perlu ada. Filem yang perlahan, aneh, berat atau berbeza juga berhak wujud. Kalau semua pembikin mengejar apa yang sudah terbukti laku, seni tidak bergerak. Tetapi sudah tentulah keberanian membuat sesuatu yang berbeza datang bersama risiko. Ini memang satu perjudian dan adakalanya hanya keajaiban jadi penentuan. Mudah kata, ia bersangkut juga dengan rezeki dan nasib.

Kalau kita mahu membuat filem yang tidak mengikut selera semasa, kita juga perlu bersedia menerima kemungkinan bahawa selera semasa memang jarang menyebelahi filem seperti itu. Dari situlah kita perlu mengkaji. Hasil kaji selidik tersebut pasti lebih berguna daripada kita terus mempersoalkan IQ penonton. Kalau sebuah restoran lengang, pemiliknya akan melihat kembali menu, harga, lokasi, servis dan promosinya. Jarang kita melihat tauke restoran berdiri di pintu memarahi orang yang lalu-lalang kerana tidak mahu masuk makan. Itu pandir namanya.

Saya seorang penulis yang telah menghasilkan beberapa buah buku. Saya tahu betapa pedihnya hati apabila melihat orang ramai membeli buku penulis lain dan bukan buku saya. Tapi saya tahu kenapa, apa kekurangan saya. Yang membeli buku saya, saya sedapkan hati dengan kata-kata, ‘mereka inilah jauhari yang mengenal manikam.’ Yang tak beli, saya sejukkan hati dengan sebab tak menepati citarasa dan selera mereka. Ada juga kawan-kawan yang membeli kerana menyokong. Ini kerana mereka berkemampuan. Dalam industri apa pun, kita perlukan orang begini. Berkemampuan dan menyokong. Ada yang berkemampuan tetapi tidak juga membeli buku saya. Takkan saya nak marah?

Filem memang medium seni yang paling pantas sampai ke mata masyarakat. Tetapi sebaik sahaja tiket mula dijual, bermakna ia telah memasuki dunia pilihan pengguna. Di sinilah untung nasibnya bakal diuji. Filem memang hak pembikin untuk dibuat sebagaimana yang mereka mahu. Tetapi tiket tetap hak penonton untuk membelinya atau tidak. Sama seperti peniaga keropok tadi. Kita boleh beritahu orang keropok kita sedap. Kita boleh suruh orang yang sudah makan memberikan testimoni. Kita boleh jelaskan betapa susahnya hendak membuat keropok itu. Tetapi kalau orang di meja itu masih tidak mahu membeli, bukan bermakna dia tak suka keropok. Bukan juga sebab IQ dia rendah. Mungkin dia sedang menimbang-nimbang isi poketnya sama ada berbaloikah beli keropok atau lebih ‘afdhol’ makan nasi. -FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.