`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, December 8, 2012

ADUN TG BATU, WAKIL RAKYAT KELIRU?


Saudara Pengarang,

SAYA merujuk kepada kenyataan media oleh ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, berkaitan saranan beliau agar rakyat tidak menggadai masa depan dengan mengundi pembangkang pada PRU akan datang.

Kenyataan Hamisa lebih banyak menggambarkan dirinya sebagai seorang wakil rakyat yang keliru kerana mindanya sangat terkebelakang. Beliau telah gagal mengemaskini pengetahuannya selari dengan perkembangan senario semasa.
Rakyat Kelantan telah membuat pilihan yang tepat apabila terus mengekalkan kerajaan yang diterajui PAS, sebuah pentadbiran yang meletakkan ulama sebagai pemimpin ulung mereka selama lebih 22 tahun.

Pembangunan di negeri Kelantan lebih banyak membawa kemakmuran kepada rakyat seluruhnya berbanding dengan kerajaan di bawah pentadbiran BN yang mengutamakan kepentingan kroni dan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri.

Oleh sebab itu, perbelanjaan untuk sebuah tangki air yang berharga tidak lebih RM400 telah mencecah sehingga RM2,500 sebuah. Ke mana perginya lebihan RM2,100 kalau bukan ke kocek para pemimpin UMNO dan kroni-kroninya?

Bayangkan, berapa juta ringgitkah yang bakal dikaut oleh para pemimpin UMNO untuk 40,000 unit tangki air? Ertinya, UMNO telah mengeksploitasi kemiskinan rakyat untuk mendapatkan habuan pulangan berjuta ringgit di atas projek yang mereka canangkan.

Saya suka mengingatkan Hamisa, bahawa wang yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk semua projek pembangunan bukannya datang dari kantung Perdana Menteri UMNO atau mana-mana pemimpin UMNO.

Wang itu datangnya dari kocek para pembayar cukai, dari kocek ahli-ahli PAS, PKR, DAP dan seluruh rakyat Malaysia. Jadi, apa perlu Hamisa mendabik dada di atas pembiayaan pembangunan negara dari wang rakyat yang sebenarnya hanya memperkayakan para pemimpin UMNO?

Rompakan royalti minyak yang sewajibnya menjadi hakmilik rakyat Kelantan hanya mengesahkan sikap talam dua muka para pemimpin UMNO yang kokoknya berderai-derai; mencanangkan slogan 'wasatiyyah' dan 'kesederhanaan'.

Wasatiyyah apa kalau harta milik rakyat Kelantan dalam bentuk royalti telah dinafikan oleh UMNO/BN? Kesederhanaan apa yang UMNO/BN laungkan apabila tindakan merompak royalti minyak Kelantan adalah suatu tindakan melampau dan 'ekstrim'?

Mungkin Hamisa buat-buat lupa bahawa Sabah berhadapan dengan masalah bekalan elektrik yang sentiasa terputus hampir setiap minggu di semua Daerah di Sabah. Akan ada sahaja kita dengar dan baca tentang rungutan orang ramai dan para pengusaha perniagaan yang mengalami kerugian akibat terputus bekalan elektrik.

Ke mana pergi peruntukan berjuta-juta ringgit yang diumumkan oleh Menteri UMNO untuk konon mahu menambah janakuasa bagi menyelesaikan masalah tersebut? Kenapa Hamisa buat-buat lupa tentang penafian hak orang asal ke atas pemilikan tanah oleh Kerajaan Negeri Sabah?

Mengenai Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, saya suka mengingatkan Hamisa bahawa ia sebenarnya tidak lebih daripada sebuah lakonan lama yang diulang tayang semula. Perhimpunan Agung UMNO hanya berdegar-degar dengan retorik dari pemimpin yang kecut berdepan secara bersemuka dengan pemimpin PR dalam membahaskan isu-isu besar seperti rasuah dan salah guna kuasa yang melingkari kerajaan UMNO/BN.

Pemimpin-pemimpin UMNO hanya lantang bersuara di dalam media, radio dan televisyen, membuat pelbagai tuduhan dan fitnah ke atas para pemimpin PR. Tetapi, apabila diajak berdebat dan berbahas; mereka gunakan pelbagai helah dan alasan untuk mengelak agar supaya tembelang mereka tidak terdedah dan diketahui rakyat.

Salam Hormat,

HJ. HAMZAH HJ. ABDULLAH
YDP PAS Batu Sapi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.