`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, December 11, 2012

AES: Kesinisan Saya Mungkin Serius



A Kadir Jasin



MENGULAS dalam tampalan bertajuk “Truly Asia Growingly Crime Ridden” pembahas yang menggunakan nama samaran “TOOLBOX” (kotak peralatan), menulis:

“Patek Kuat. Sangat sinikal! Sekali-sekala Datuk buat lawak bersembur nescafe yang saya minum. Syukur tak kena keyboard!”

Kalau ada orang guna nama Beta Tegap Sdn Bhd dan dapat konsesi lumayan, apa salahnya kalau saya namakan syarikat khayalan (imaginary) saya Patek Kuat. Ada sejenis jam tangan berprestij bernama “Patek Philippe” buatan Swiss.

Kita pun tidak pasti “Beta” dalam nama syarikat konsesi AES itu merujuk kepada “beta” yang digunakan oleh Raja-Raja untuk membahasakan diri atau “beta” yang berupa huruf kedua dalam abjad Greek – alpha (a), beta (b), gamma (g), delta (d).......

Atau “beta” yang merujuk kepada ukuran potensi risiko saham (pelaburan) yang diukur mengikut nisbah turun naik saham berbanding dengan pergerakan pasaran.

Atau “beta” yang merujuk kepada prototaip yang hampir siap bagi sesuatu barangan atau perisian komputer.

Nama Adalah Segala-Galanya

Apa pun maksud nama syarikat mereka, dakwaan mereka ialah sistem yang mereka bekalkan kepada pemerintah melalui Jabatan Pengangkutan Jalan adalah “better” (lebih baik) daripada segala sistem yang serupa yang ada sekarang.

Memang betul. Sistem mereka boleh buat tangkapan siang malam tanpa henti dan boleh keluarkan lebih banyak saman berbanding pegawai JPJ atau polis yang bersembunyi dalam belukar atau bawah jejambat.

Potensi hasil pun lebih bagus. Kalau JPJ atau Polis yang keluarkan saman, kita boleh merayu atau dari semasa ke semasa diisytiharkan diskaun. Saman AES, khabarnya tak boleh merayu dan kalau tak bayar, terus naik mahkamah.

Jadi, kalau mereka boleh guna nama Beta Tegap untuk syarikat mereka, apalah salahnya saya guna nama “Patek Kuat” untuk syarikat khayalan saya?

Lagipun, adalah tidak mustahil bagi orang yang berusaha keras dan sentiasa mencari peluang untuk memaksimumkan keuntungan - seperti para kapitalis yang memodali Beta Tegap - untuk memperoleh sistem yang lebih baik.

Apa yang ditawarkan oleh syarikat khayalan Patek Kuat sangat berpotensi menjana pendapatan yang lebih lumayan.

Ia bukan saja boleh mengesan pemandu yang melanggar had laju dan lampu isyarat, tapi boleh mengesan orang bawah umur memandu secara haram, memandu dengan lesen yang sudah tamat tempoh (lesen mati), memandu kereta curi, memandu ketika mabuk, tidak hormat pengiring (outrider) orang kenamaan, tidak beri laluan kepada kereta Proton Perdana bercermin hitam, bersiren dan dengan lampu strob biru dan, yang paling utama, orang yang memandu sambil membantah AES.

Sekarang kita kerap baca berita remaja bawah umur curi pandu kereta saudara mara kemudian mati langgar pokok, masuk gaung atau ditembak polis kerana tidak berhenti apabila diperintahkan.

Outrider, Outrider Di Mana-Mana

Pandu kereta curi, pandu tanpa lesen atau lesen mati dan mabuk perkara biasa. Kemudian karenah pengiring orang besar pula. Tak apalah kalau Raja-Raja, Gabenor, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dan bekas Perdana Menteri ada pengiring.

Sekarang, kata si tiung yang pandai bercerita, menteri polis, menteri askar dan Datuk Bandar pun ada pengiring bermotosikal.

(Menyebut mengenai menteri polis, saya rasa perang mulut yang membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan dengan bekas bos-bosnya perlu diberi perhatian.)

Kalau belum cukup banyak pihak yang meminta keistimewaan di jalan raya, fikirkan pula mengenai banduan atau tertuduh yang sedang dibawa ke penjara atau ke mahkamah. Mereka pun ada pengiring. Paling tidak bertimbang rasa adalah konvoi Jabatan Penjara yang guna lorong laju di lebuh raya apabila had laju kenderaan berat mereka hanya 90 kilometer sejam. Nampaknya ada juga keistimewaan jadi banduan dan tertuduh.

Kemudian, di akhir-akhir ini ada pula yang tak dapat pengiring polis tapi nak rasa istimewa di jalan raya. Mereka inilah yang saya maksudkan dengan kereta Proton Perdana bercermin hitam, bersiren dan dengan lampu strob biru. Mereka “cilok” kiri kanan seolah-olah jalan raya milik nenek moyang mereka. Alahai negaraku Malaysia.

Berkenaan yang pemandu yang memandu sambil membantah AES, maklumat mengenai mereka sangat penting sebab ketidaksukaan mereka kepada AES boleh membawa hingga ke peti undi.

Kalau mereka boleh dicam dan dikesan, bolehlah Perdana Menteri menghantar risalah 1Malaysia seperti yang beliau hantar kepada semua pemilih baru yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya agar mengundi Barisan Nasional. Saya tahu hal ini sebab anak saya ada menerimanya. Manalah tahu lembut hati mereka apabila menerima risalah daripada PM.

Apa Salahnya Kita Sinis?

Bersabit kesimpulan pembahas “Toolbox” yang saya sinis (cynical), apa kata saya sebenarnya serius?

Lagipun, apalah salahnya kita sinis. Sinis bukan hal remeh. Ia sebenarnya satu cabang falsafah Greek lama (ancient Greek).

Pengamal “cynic” berpegang kepada falsafah iaitu matlamat utama kehidupan mestilah sebati dan selari dengan hukum alam. Atas landasan itu, mereka menolak kehendak (nafsu) seperti kekayaan, kuasa, seks dan kemasyhuran. Mereka memilih untuk hidup tanpa sebarang bentuk pemilikan. Malah ada yang mengemis. Tapi sinis saya tidaklah macam itu.

Hari ini, istilah sinis digunakan bagi merujuk kepada ketidakpercayaan seseorang atau kumpulan terhadap sesuatu perkara. Maksud sinis hari ini lebih hampir kepada sindir. Wallahualam.

2 comments:

  1. Di JPJ ada banyak kek yang boleh dibahagi2kan.Dan yang sudah dibahagi2kan ialah:
    Pemeriksaan kereta motor oleh PUSPAKOM.
    Perlesenan keteta motor Ujian undang2 oleh MyEG,
    Dan kini, Penguatkuasaan AES oleh Betategap dan satu syarikat lain.
    Kalau Penguatkuasaan boleh diswastakan kenapa bahagian yang lain tidak boleh?

    Bahagian kek yang belum diteroka tetapi punya potensi besar untuk dicuba oleh para pedagang dengan jaminan keuntungan ialah:

    1.Penjualan nombor pendaftaran( Registration and Licencing of Motor Vehicles)
    2.Pembuatan nombor plat pendaftaran (Registration and Licencing of Motor Vehicles)
    3.Pengujian atau pentauliahan kelayakan memandu( Licensing of Drivers)
    4.Pengujian dan pentauliahan sijil pengajar Memandu( licencing of Driving institute)

    ReplyDelete
  2. Great post. A good driving instructor is really necessary.

    hgv cpc training & transport manager cpc courses

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.