`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, December 9, 2012

NASIB PESARA SAPONG ESTATE TERABAI




PELANCARAN.....Rubin melakukan pecah tanah dengan menanam pokok durian sebagai tanda pelancaran memulakan pembinaan Balai Budaya.

Oleh: JACKSON LU

KEMABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Datuk Rubin Balang menegaskan bahawa permintaan penduduk untuk penambahan pembinaan jalanraya sejauh 4 kilometer untuk Kg Ulu Biah Kecil dan Kg Ulu Biah Besar termasuk kemudahan asas seperti bekalan air graviti, bekalan elektrik akan diberikan keutamaan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan (2013).

Malahan tegas beliau, semuanya akan dinaiktaraf dari masa ke semasa secara berperingkat selain prasarana lain turut dibina, terutamanya beberapa PPRT untuk penduduk yang berstatus warga emas; khususnya para pesara peneroka Sime Darby yang tidak bertanah dan ingin membina penghidupan baru di situ.
Dengan terlaksananya dua infrastruktur di peringkat pertama seperti jalanraya dan bekalan air yang merupakan elemen penting dalam memulakan pembangunan kawasan di situ, sudah pasti ia akan lebih kondusif ke arah melebarkan pelbagai perancangan lain sebagai langkah tambahan secara jangka panjang, tegas Rubin.

“Kita sudah mulakan pembinaan Balai Budaya yang berharga kira-kira RM40 ribu di Kg Ulu Biah dan tiga buah perkampungan sekitarnya di mana Balai Budaya ini satu- satunya pusat untuk mereka berkumpul dan merayakan adat dan senibudaya mereka di sesuatu musim,” kata beliau kepada media ketika sesi turun padang melawat perkampungan Kg Ulu Biah Sapong, pada Sabtu.

Dalam sessi turun padang itu, beliau yang diiringi Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kemabong, Sukimin Rukini, CDO Alex Tay, Penyelia Kanan KEMAS Roger London, Pengerusi JKKK Ladang Sapong Dailit Antiong dan para Jawatankuasa Bahagian dan Wanita UMNO Tenom.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tenom berkata, niat dan hasratnya untuk membantu mengatasi masalah penduduk yang tidak bertanah sudah berputik sejak beliau mula menjadi wakil rakyat pada penggal pertama namun semuanya terbantut disebabkan kekurangan tanah luas untuk penempatan mereka.

Justeru itu, kata Rubin, beberapa rayuan dan saranannya menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya kerajaan menebus mana-mana tanah milik GLC khususnya Syarikat Sime Darby yang tidak diterokai agar diberikan kepada rakyat yang tidak bertanah; namun penyelesaiannya masih belum terhasil sehingga sekarang.

"Mereka (GLC) boleh menggunakan kaedah tanggung jawab sosial syarikat itu atau 'Corporate Social Responsibility' (CSR) untuk menyerahkan tanah itu kepada rakyat yang tidak bertanah daripada terus terbiar tidak diterokainya," tegas Rubin.

Kata Rubin, sebenarnya sejak zaman era kolonial lagi, semua tanah yang baik untuk rakyat bercucuk tanam kira-kira 13,500 ekar; masing-masing 8,000 ekar di Melalap dan 5,500 ekar di Kemabong telah diambil syarikat British Rubber Estate; manakala bakinya yang berada bukit bukau berstatus tanah kerajaan telah habis dimiliki; tetapi berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan.

“Jadi, di mana lagi kita mahu menempatkan penduduk yang semakin bertambah ramai jumlahnya sehingga hari ini? Tambah menyedihkan apabila kewujudan SFI dan kini diserahkan kepada Ballapur Bhd sebagai kawasan konsesi perhutanan, (jadi)... keadaan tanah untuk rakyat kini semakin kecil dan terhimpit,” tegas Rubin.

Bagaimana pun, Rubin menjelaskan, beliau akan berusaha mencari jalan untuk membantu rakyat yang tidak bertanah dengan mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan dan syarikat GLC untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kita akan berusaha untuk mendapatkan persetujuan daripada Syarikat Sime Darby supaya melepaskan tanah miliknya seluas kira-kira 20 ekar, di lokasi Kg Ulu Biah bagi menempatkan para pesara peneroka Sime Darby yang tidak bertanah.

Kata Rubin, beliau sedih mendengar apabila para peneroka ini bersara dari Sime Darby, mereka tidak dibenarkan menghuni perumahan syarikat itu (malah) keluhan mereka sangat menyayat hati.

“Jadi, kalau mereka tiada tanah untuk mendirikan rumah, bagaimana pula nasib keluarga mereka? Takkanlah mereka hidup merempat bersama anak-anak mereka yang masih bersekolah. Kita kena usahakan kebajikan mereka,” tegas Rubin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.