`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, January 11, 2013

JANGAN PEDULIKAN SLOGAN 'TUKAR KERAJAAN'




KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengingatkan rakyat Sabah, terutama penjawat awam supaya tidak terpengaruh dengan slogan 'tukar kerajaan' yang dimainkan pembangkang bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sambil menepis dakwaan pembangkang bahawa kerajaan sedia ada "tidak membawa apa-apa pembangunan" kepada rakyat di negeri ini, Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata bahawa hanya orang buta dan tuli sahaja yang tidak mampu melihat kebenaran.
"Kalau mahu tukar (kerajaan) mudah sahaja...tapi adakah itu membawa kebaikan atau kemudaratan kepada rakyat dan negeri ini?

"Di mana-mana sahaja kita boleh melihat pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN. Saya yakin rakyat Sabah atau penjawat awam matang dan tahu menilai prestasi kerajaan BN yang banyak membawa pembangunan dan menolong rakyat dalam semua aspek tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan," katanya.

Beliau berucap pada majlis perhimpunan perdana Ketua Menteri bersama penjawat awam negeri di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah di Likas, dekat sini Khamis.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Tun Said, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman, timbalan-timbalan ketua menteri, menteri-menteri, pembantu-pembantu menteri dan ketua-ketua jabatan.

Musa turut menggariskan kejayaan dan pencapaian kerajaan BN yang membawa perubahan besar dan menyeluruh dalam landskap pembangunan di negeri ini.

Katanya ini termasuk kejayaan kerajaan negeri mengurus kewangan dengan baik seperti yang terkandung dalam Laporan Perbendaharaan Negara selain berjaya mendapat anugerah 'Clean Bill' selama beberapa tahun berturut-turut.

"Ini bermakna Sabah adalah antara negeri yang mempunyai pengurusan kewangan yang terbaik di negara ini," katanya.

Beliau berkata dengan kedudukan kewangan yang kukuh, kerajaan negeri mampu membelanjakan berbilion ringgit bagi pelbagai projek pembangunan di negeri ini, dan tahun ini sahaja, kerajaan negeri menyediakan bajet tahunan melebihi RM4 bilion.

Musa berkata walaupun beliau gembira dan berpuas hati dengan pencapaian negeri ini setakat ini namun rakyat Sabah terutama penjawat awam perlu bekerja keras bagi mencapai lebih banyak kejayaan.

"Memang saya akui kita ada kelemahan dan masih ada yang belum dicapai tetapi yang penting dengan adanya kerjasama antara pemimpin dan kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan, kita akan mencapai kejayaan yang membanggakan," katanya.

"Dari segi pendidikan, kini kita ada Universiti Malaysia Sabah, Kolej Yayasan Sabah (yang bakal dinaik taraf kepada kolej universiti) dan Kolej Kadazandusun Murut (Kolej KDM) yang akan dibina di Tambunan," katanya.

Ketua Menteri turut menolak dakwaan pembangkang yang kononnya Sabah adalah negeri termiskin di negara ini, sebaliknya meminta Universiti Malaysia Sabah dan cawangan kampus UiTM membuat kajian lanjut berhubung perkara itu.

Katanya di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memperkenalkan pelbagai program transformasi, Malaysia berada di landasan betul untuk menjadi sebuah negara maju dan pembaharuan itu wajar disokong oleh semua lapisan masyarakat.

"Di bawah program transformasi Perdana Menteri, tiada pihak atau kaum yang terpinggir...semua rakyat mendapat manfaat dan pembelaan yang sewajarnya," katanya.

Oleh itu, beliau berharap penjawat awam dapat membantu memberi atau menyebarkan persepsi positif terutama kesungguhan kerajaan dalam membangunkan negeri ini, sekali gus memastikan kelangsungan program pembangunan untuk kemudahan rakyat. (Bernama)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.