`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, January 13, 2013

KONFLIK RCI : DAFTAR SEMULA IC SABAH





Saudara Pengarang,

MENYEDARI hakikat bahawa dengan menangkap dan menghantar balik Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pulang ke negara asal mereka agak sukar dan mustahil dilaksanakan; maka kerajaan hendaklah mengambil tindakan drastik berdasarkan undang-undang dan peraturan sedia ada.

Antara tindakan tersebut ialah dengan menguatkuasa kaedah pendaftaran dan pengeluaran kad pengenalan berdasarkan peraturan yang sedia ada iaitu ; a) biru untuk warga negara; b) merah untuk penduduk tetap; c) hijau untuk penduduk sementara.
Pemberian kad pengenalan warna biru hanya untuk warga negara Malaysia yang dikeluarkan dengan peraturan yang ketat sedia ada dengan tambahan peraturan berikut:

1) Mereka yang lahir pada atau sebelum 16 September 1963 dengan bukti sijil atau surat lahir yang asal. Salinan atau fotostat hendaklah disahkan oleh Jabatan pendaftaran berdasarkan rekod yang sedia ada. Sebarang surat lahir daftar lewat tidak diterima. Surat akuan bersumpah juga tidak diterima.

2) Mereka yang masuk ke Sabah pada atau sebelum 16 September 1963 melalui pintu masuk Imigresen dan didaftarkan secara sah. Memohon taraf warga negara secara sah ikut undang-undang dan peraturan sedia ada.

Manakala kad pengenalan warna merah atau taraf penduduk tetap, hanya dikeluarkan kepada;

1) Mereka yang lahir pada atau sebelum 16 September 1963 dengan mengemukakan sijil lahir daftar lewat sahaja. Surat akuan tidak diterima.

2) Mereka masuk secara sah ke Malaysia melalui pintu masuk Imigresen dan dikeluarkan kad merah dan memohon pertukaran taraf penduduk tetap setelah tinggal secara berterusan di Malaysia melebihi 10 tahun.

Bagi Kad pengenalan warna hijau iaitu untuk penduduk sementara dikeluarkan kepada;

1) Mereka yang lahir pada atau selepas 16 September 1963 dengan mengemukakan surat akuan bersumpah.

2) Warga asing yang masuk secara sah melalui pintu imigresen dan mengambil keputusan tinggal secara tetap di Malaysia setelah tinggal secara berterusan di Malaysia lebih daripada 10 tahun.

Oleh itu, hanya warga negara Malaysia (pemegang kad pengenalan biru) sahaja yang boleh memegang jawatan berpencen dalam jabatan kerajaan; mendaftar sebagai ahli dalam mana-mana parti politik berdaftar; mendaftar sebagai pengundi; bertanding dalam pilihanraya dan memohon serta memiliki tanah.

Sehubungan itu, pemegang kad hijau untuk penduduk sementara tidak boleh bekerja dan menjawat jawatan dalam mana-mana jabatan kerajaan dan tidak boleh berdaftar sebagai ahli parti; tidak boleh mendaftar sebagai pengundi dengan SPR dan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya dan tidak boleh memohon, pindah milik atau memiliki tanah.

Manakala pemegang kad pengenalan merah untuk penduduk tetap, mereka boleh memegang jawatan sementara dan kontrak sahaja dalam jabatan kerajaan; tetapi tidak boleh mendaftar sebagai ahli mana-mana parti politik; dan tidak boleh mendaftar dengan SPR sebagai pengundi; tidak boleh bertanding dalam pilihan raya dan tidak boleh memohon tanah kerajaan, pindahmilik atau memiliki tanah.

Sebagai tambahan kepada kelayakan sebagai warganegara, ialah mendapat bantuan biasiswa kerajaan; manakala penduduk tetap dan sementara tidak layak.

Kelayakan bagi mendapatkan taraf warga negara dan kad pengenalan biru adalah secara automatik kepada penduduk asal dan anak negeri Sabah. Semua syarat pengecualian tersebut hanya terpakai kepada penduduk Sabah yang diragui taraf kerakyatannya sahaja terutama yang tiba dari negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina, Myanmar, Vietnam, Laos, Cambodia, Thailand dan Benua India seperti India, Pakistan dan Bangladesh.

Sehubungan itu, kerajaan hendaklah bersikap berani, tegas dan ikhlas dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan sedia ada berdasarkan prinsip perlembagaan negara.

Operasi besar-besaran hendaklah dibuat untuk menggantikan kad pengenalan Malaysia yang ada sekarang (khusus untuk warga negara yang diragui kesahihannya, yang masuk sebagai PATI).

Pembersihan nama dalam daftar SPR dan parti-parti yang ada sekarang mudah dilakukan melalui warna kad pengenalan. Kerajaan tidak perlu belanja besar untuk menghalau mereka. Memadai dengan operasi menukar warna kad pengenalan sahaja.

Salam Hormat,

DATUK SAMSU BAHARUN HAJI ABDUL RAHMAN

(NOTA : SAMSU Baharun merupakan Mantan Adun Lahad Datu dan Ahli Parlimen Silam serta Mantan Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Koperasi kini sedang menyambung pelajaran di luar negara atas tajaan MARA)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.